Rumah mampu milik Halaman Kenanga bukti kerajaan PR kotai janji

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PARA penghuni Halaman Kenanga tersenyum girang selepas menerima kunci kediaman masing-masing pada tempoh tiga bulan lebih awal daripada Ketua Menteri di sini baru-baru ini. Gambar oleh Law Suun Ting.
PARA penghuni Halaman Kenanga tersenyum girang selepas menerima kunci kediaman masing-masing pada tempoh tiga bulan lebih awal daripada Ketua Menteri di sini baru-baru ini. Gambar oleh Law Suun Ting.

BAYAN BARU – Seramai 657 pembeli Projek Perumahan Sosial Halaman Kenanga di sini bersyukur dan tersenyum girang apabila penantian mereka untuk mendiami kediaman baru termakbul tiga bulan lebih awal dari tempoh dijangkakan.

Projek tersebut dilaksanakan di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melalui anak syarikatnya PDC Properties sebagai sebuah agensi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, terutamanya kepada golongan sasaran berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk memiliki rumah dari pasaran terbuka.

Sebanyak 510 unit kos sederhana rendah, kos rendah (204) dan unit kedai (6) telah dibangunkan di Halaman Kenanga. Malah, pada masa sama, pelbagai ciri tambah nilai (value added) turut dimasukkan, termasuk kemasan jubin, 724 tapak parkir berbumbung, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pagar berpalang, taman permainan kanak-kanak (2) serta dewan komuniti (8) untuk membolehkan para penduduk menganjurkan pelbagai acara serta aktiviti kejiranan.

Menurut salah seorang penerima kunci, Hasnah Hassan, 50, penerimaan kunci pada tempoh tiga bulan lebih awal adalah amat melegakan apabila mereka sekeluarga dapat menduduki kediaman tersebut sebelum tarikh dijangkakan.

HASNAH Hassan
HASNAH Hassan

“Saya gembira dan bersyukur apabila dipermudahkan segalanya. Dengan penyerahan kunci ini, dapatlah kami menduduki rumah ini lebih awal. Tambahan pula, suasana di sini pasti lebih meriah dengan segala kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan pihak PDC.

“Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Sim Tze Tzin (Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak) dan Ketua Menteri atas inisiatif dan usaha mereka mendapatkan rumah mampu milik ini pada tempoh secepat yang mungkin bagi membolehkan kami memulakan kehidupan dalam suasana lebih selesa,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Hasnah merupakan salah seorang daripada 12 keluarga terbabit dalam isu perobohan rumah ekoran campur tangan pihak tidak bertanggungjawab di Sungai Nibong Besar di sini yang pernah mendapat liputan Buletin Mutiara tahun lalu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyempurnakan majlis penyerahan kunci menyatakan bahawa projek yang dilancarkan pada Julai 2010 di atas tanah berukuran 4.31 ekar itu bukan sahaja berada di lokasi utama (Sungai Dua), malah, turut dikelilingi dengan pelbagai kemudahan penting.

“Pembeli bukan sahaja dapat memiliki rumah dengan harga mampu milik, tetapi, apa yang lebih menguntungkan adalah kedudukan projek perumahan ini yang berdekatan dengan Universiti Sains Malaysia (USM), sekolah, pasar awam, astaka dan pengangkutan awam yang mudah didapati,’’ jelasnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada 2008 telah meluluskan pembinaan rumah mampu milik sebanyak 11,596 unit. Manakala, tahun ini (2012), Pulau Pinang turut muncul sebagai Kerajaan Negeri pertama yang memperuntukkan peruntukan terbanyak iaitu RM500 juta untuk Tabung Rumah Mampu Milik berkualiti di bahagian pulau dan Seberang Perai, Pulau Pinang.