GEORGE TOWN – Skim perumahan mampu milik Pulau Pinang kini dijenamakan sebagai Rumah Mutiaraku (RMKu) yang turut ditambah baik dengan beberapa garis panduan baharu.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, penjenamaan semula itu adalah bagi meningkatkan ‘sense of home ownership’ (perasaan memiliki rumah) seiring slogan ‘Rumahku Syurgaku, Rumah Mutiaraku.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai memaklumkan bahawa antara perkara yang ditambah baik adalah syarat pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah dibahagikan mengikut zon.
“Sebelum ini, pemaju disyaratkan menyediakan 30 peratus rumah mampu milik (RMM) Jenis A dan B, syarat baharu kini memberi opsyen kepada pemaju mengikut zon dimajukan.
“Zon-zon ini dibahagikan kepada tiga iaitu Zon 1 merangkumi bandar utama atau wilayah di George Town; Zon 2 adalah bandar-bandar baharu termasuk keseluruhan daerah Timur Laut, Barat Daya dan Batu Kawan, Butterworth, Bukit Mertajam, Kepala Batas, Sungai Bakap serta Nibong Tebal, manakala Zon 3 pula melibatkan kawasan di Balik Pulau,” jelasnya pada sidang media di Komtar pada 24 Januari 2025.
Tambahan lagi, Sundarajoo juga memaklumkan bahawa kadar sumbangan tidak menyediakan rumah bagi kategori RMM A (harga maksimum seunit RM42,000) dan RMM B1 (maksimum RM72,500) serta B2 (maksimum RM100,000) secara fizikal adalah RM120,000 seunit kepada pemaju tempatan dan RM150,000 seunit (pemaju luar).
“Selain itu, penetapan isi rumah bagi pasaran terbuka juga dihadkan pada kadar RM20,000 seunit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sundarajoo memberitahu bahawa Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) mengalami tunggakan sewa daripada penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) sebanyak RM17.7 juta.
“Tunggakan sewa ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan pendapatan kepada Kerajaan Negeri tetapi juga kehilangan kelayakan kepada rakyat lain yang lebih layak tinggal di PPR dan PPA.
“Jumlah tersebut melibatkan 7,854 penyewa yang berhutang sejak tahun 1970-an lagi sehingga menjejaskan kewangan negeri yang terpaksa menampung kos penyelenggaraan yang tidak cukup.
“Hasil siasatan juga mendapati ada dalam kalangan penyewa yang tinggal lebih 20 tahun, jika dahulu cuma ada sebuah motosikal sekarang sudah miliki dua buah kereta dan gaji mencecah lebih RM3,000.
“Justeru, dalam menangani isu ini dan juga isu tunggakan tersebut, tindakan tegas akan diambil bagi memberi peluang kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan,” tegasnya.
Jelasnya lagi, LPNPP juga akan menyemak kelayakan penghuni sedia ada kini sama ada masih layak atau tidak untuk terus menetap di skim-skim PPR seluruh Pulau Pinang.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa garis panduan baharu akan disediakan yang mana sekiranya penyewa tidak membayar melebihi tiga bulan berturut-turut, notis akan dikeluarkan untuk mengambil alih unit berkenaan.
Menurut Sundarajoo, sebelum ini tiada apa-apa tindakan dikenakan terhadap mereka yang culas membayar sewa.
“Kita (Kerajaan Negeri) bukan mahu menyusahkan rakyat tetapi memastikan kemudahan itu dinikmati oleh mereka yang benar-benar layak dan memerlukan,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa LPNPP, Nadzifah Abd. Rahim yang turut sama dalam sidang media berkaitan berkata, pihaknya akan terus menuntut tunggakan yang masih relevan.
“Bagi hutang lapuk ia akan dihapuskan lejar kerana ada penyewa yang telah meninggal dunia dan kes terlalu lama serta tidak dapat dikesan sejak 1970-an,” katanya.
Nadzifah memberitahu bahawa kadar sewa PPR di Pulau Pinang adalah serendah RM70 sebulan sehingga RM200 sebulan berdasarkan syarat-syarat penyewaan yang ditetapkan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason Hng’ Mooi Lye; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar antara yang turut serta dalam sidang media berkaitan di sini.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN