Rumah pam, sistem perparitan dekat Taman Wira akan dinaik taraf – Exco

Admin
JASON H’ng Mooi Lye semasa sesi Soal Jawab Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 21 November 2023.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mempunyai perancangan untuk menaiktaraf rumah Pam Taman Wira dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Air Tawar, serta sistem perparitan yang sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan bertulis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Azmi Alang dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 21 November 2023.

“Pada ketika ini, MBSP dalam proses melantik juru
perunding bagi menyediakan cadangan kajian akhir mitigasi banjir di Seberang Perai,” jelasnya yang juga ADUN Jawi.

Menurut beliau lagi, nilai kos yang dianggarkan bagi kerja menaiktaraf projek tersebut adalah sebanyak RM3.8 juta yang merangkumi komponen menaiktaraf sistem pam dan sistem perparitan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye turut menyenaraikan projek tembatan banjir yang melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR