BUKIT TAMBUN – Projek menaik taraf sistem perparitan dan pembinaan Rumah Pam Taman Merak Jaya telah siap sepenuhnya pada Ogos, dan sudah mula beroperasi sejak awal September lalu.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar projek yang menelan kos keseluruhan RM660,000 itu dapat mengurangkan risiko banjir kilat yang sering berlaku di kawasan berkaitan, khususnya menjelang musim tengkujuh kelak.
“Selain daripada Rumah Pam Taman Merak, terdapat dua lagi rumah pam di bawah penyelenggaraan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) iaitu Rumah Pam Taman Helang dan Rumah Pam Transkrian di Nibong Tebal.
“Justeru, saya menggesa semua penduduk agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dengan tidak membuang sampah di dalam longkang serta parit di sekitar taman ini.
“Ini kerana, sampah-sampah yang dibuang merata-rata boleh tersangkut di rumah pam dan menyebabkan longkang atau parit tersumbat dan menyebabkan berlaku banjir,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Menaik Taraf Sistem Perparitan dan Membina Rumah Pam Taman Merak Jaya di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli Majlis bagi MBSP, Heng Yeh Shiuan; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor dan Pengarah Kejuruteraan selaku Pengarah Projek Menaik Taraf Sistem Perparitan dan Membina Rumah Pam di Taman Merak, Mohd. Syukri Said.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa jumlah kerugian yang dicatatkan akibat banjir di Pulau Pinang, khususnya di Seberang Perai adalah sebanyak RM8.3 juta sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia Tahun 2023.
“Sebagai makluman, dalam kawasan Seberang Perai sahaja, secara keseluruhannya telah disenaraikan sebanyak 109 lokasi yang terdedah kepada ancaman banjir.
“Justeru, Kerajaan Negeri telah melaksanakan projek-projek tebatan banjir di beberapa kawasan berisiko tinggi memandangkan perubahan cuaca semakin meruncing yang mana hujan lebat dan kenaikan paras air laut sering kali menjadi punca terjadinya banjir.
“Maka, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Tebatan Banjir telah meluluskan beberapa projek tebatan banjir, termasuk Rumah Pam Taman Merak Jaya ini,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan.
Beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga dalam usaha untuk melaksanakan lima lagi projek tebatan banjir di Seberang Perai termasuk Rancangan Tebatan Banjir Taman Sejahtera yang sedang dalam fasa perlaksanaan.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa pelaksanaan projek-projek tersebut menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan Pulau Pinang kekal berdaya tahan dan sesuai untuk didiami.
“Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada MBSP kerana sikap proaktif mereka dalam mencari penyelesaian berkesan terhadap cara kerja dalam menghadapi banjir.
“Selain itu, usaha MBSP memperkenalkan sistem Integrated Flood & Pump House Monitoring System (INFLOS) untuk memantau rumah pam serta keadaan banjir di kawasan berisiko tinggi juga harus dipuji,” katanya.
Dalam pada itu, Mooi Lye berkata bahawa Kerajaan Negeri sedang melaksanakan beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini sejajar dengan usaha untuk mengurangkan 80 peratus banjir kilat di 63 lokasi berisiko banjir menjelang tahun 2030.
“Sebagai makluman, terdapat 36 reka bentuk terperinci projek tebatan banjir berjumlah RM16.2 juta dan 19 projek fizikal tebatan banjir berjumlah RM39.2 juta telah diluluskan peruntukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang tahun 2024 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM55.4 juta.
“Antara projek berskala besar yang telah diluluskan peruntukan adalah RTB Sungai Kechil yang masih dalam proses penilaian tender, RTB Sungai Jawi dan PTB Sanglang (Fasa 1), sedang dilaksanakan.
“Selain itu, terdapat juga beberapa projek RTB yang kini dalam peringkat kajian dan reka bentuk dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MBSP dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri,” ulasnya.
Baderul Hamid yang turut berucap sebelum itu menyatakan bahawa sehingga kini, terdapat 27 rumah pam di bawah penyelengaraan MBSP di seluruh Seberang Perai iaitu lima di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah, SPT (18) dan empat lagi di SPS.
“Di samping itu, terdapat dua projek yang masih dalam peringkat kajian oleh MBSP, iaitu Projek Kajian Mitigasi Banjir di Taman Kerapu di SPU dan Taman Impian di SPT.
“Terdapat juga beberapa projek tebatan banjir dalam perancangan dan pelaksanaan MBSP bagi tahun 2024 dan 2025, termasuk Projek Menaik Taraf Sistem Perparitan dan Kolam Tadahan di Taman Sejahtera; Projek Menaik Taraf Sistem Perparitan di Taman Machang Bubuk dan Projek Menaik Taraf Sistem Perparitan dan Membina Rumah Pam Di Taman Inderawasih,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD