Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin terima geran dana permulaan RM38,400 tubuh MC

PENGKALAN KOTA – Kerajaan Negeri menyerahkan sumbangan geran dana permulaan berjumlah RM38,400 sebagai menyokong penubuhan Perbadanan Pengurusan (MC) Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin di sini.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perkara tersebut adalah selaras dengan Akta Pengurusan Hartanah Strata bagi pemaju menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan seterusnya mewujudkan MC.

 

 

“Bagi projek-projek perumahan awam seperti di Gat Lebuh Noordin, kini, terdapat 21 skim di negeri ini yang sama-sama mempunyai tanggungjawab, mengikut undang-undang seperti pemaju swasta untuk tubuhkan JMB seterusnya MC.

 

 

“Justeru, kita bersyukur daripada jumlah keseluruhan tersebut, enam skim telah berjaya menubuhkan MC, dan hari ini kita akan sampaikan ‘sijil kelahiran’ kepada Pengerusi MC Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin iaitu Encik Lee Chong Cheng,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Pengurusan Kepada Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin dan Penyerahaan Dana Permulaan di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LMNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga faham tentang kegusaran MC baharu dilantik dalam menguruskan rumah pangsa terbabit, justeru atas dasar itu, Kerajaan Negeri membantu melalui geran dana permulaan berjumlah RM100 untuk setiap 384 petak perumahan.

 

 

“Ini adalah bagi membolehkan saudara Chong Cheng memulakan kerja, dan difahamkan MC akan mengambil alih secara rasmi pada 1 Januari 2023,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Dalam menjaga kebajikan rakyat, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sehingga kini telah membelanjakan RM308 juta bagi membantu skim-skim perumahan strata layak pada aspek penyelenggaraan melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPMPP).

 

 

“Kita terus memberi keutamaan untuk keselesaan rakyat seperti penggantian lif, tangki dan lain-lain.

 

 

“Mana ada kerajaan yang boleh ‘hadiahkan’ lif kepada penduduk, demi penduduk kita tetap lakukan demi transformasi serta kualiti hidup secara menyeluruh,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMARP