Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
BALIK PULAU – Selepas 14 tahun, seramai 63 pembeli projek perumahan Taman Seri Sayang, Jalan Genting di sini mampu
menarik nafas lega apabila mampu menduduki kediaman berkaitan hasil inisiatif Kerajaan Negeri November lalu.
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri melalui portfolionya giat menjalankan pemantauan bagi membolehkan projek-projek yang dalam pemajuan ataupun lewat daripada tarikh sepatutnya diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau memberitahu, Projek Taman Seri Sayang seharusnya siap 12 tahun lalu (2002), iaitu selepas dua tahun perjanjian jual beli, tetapi mengalami masalah sehingga ia ditunda beberapa kali.
“Mengikut aduan diterima membabitkan para pembeli, jaminan siap projek daripada pihak pemaju adalah pada 2002, tetapi sehingga tahun ini (2014), projek masih gagal disiapkan atas alasan tertentu.
“Oleh itu, sejak Februari lalu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif berusaha membantu pembeli-pembeli di sini.
“Adalah menjadi komitmen kami (Kerajaan Negeri) untuk pastikan pembeli dapat menduduki rumah yang dibeli,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Kunci Taman Seri Sayang di sini baru-baru ini.
Projek perumahan Taman Seri Sayang adalah membabitkan pembinaan 38 unit pangsapuri kos sederhana, rumah teres (11) dan rumah kedai dua tingkat (14 unit).
Dalam pada itu, pada majlis sama, Jagdeep turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak membantu Bumiputera untuk memiliki rumah mampu milik di negeri ini.
“Menurut rekod Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan (SPEC) sejak Ogos 2013, terdapat 11,695 pemohon
memohon rumah mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang.
“Daripada statistik tersebut, 4,742 pemohon merupakan dalam kalangan Bumiputera, 5,215 (Cina dan lain-lain) dan 1,738 (India),” ujar Jagdeep.