Rumah tak terjual, Pulau Pinang kedua tertinggi selepas Johor – Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Sehingga kini sejumlah 4,638 unit rumah mampu milik (RMM) siap dan tak terjual di negeri Pulau Pinang adalah menyamai nilai jualan kira-kira RM3.66 bilion.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa rekod itu meletakkan Pulau Pinang pada kedudukan kedua tertinggi daripada segi unit kediaman tak terjual (overhang) di belakang negeri Johor semasa ini.

“Pulau Pinang berada pada kedudukan kedua paling tinggi di belakang Johor dengan unit kediaman tak terjual (overhang) sebanyak 6,509 (unit RMM),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 29 November 2021.

Penjelasan Jagdeep itu sebagai menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim.

Menurut Jagdeep, pihaknya menyedari mengenai isu ‘overhang’ yang dihadapi dalam sektor perumahan negeri ekoran pandemik COVID-19 serta senantiasa berusaha mendorong firma pemaju perumahan bukan kerajaan supaya memberi tumpuan pada pembinaan RMM berbanding rumah mewah yang mencecah harga jutaan ringgit.

“Saya selalu bercakap (kepada firma pemaju perumahan bukan kerajaan) jangan hanya mengejar keuntungan semata-mata, kita perlu saling membantu rakyat semasa pandemik COVID-19 untuk mendiami rumah pertama mereka.

“Di Pulau Pinang boleh dibina rumah (dengan harga jualan) sehingga RM1 juta tetapi ia sangat sukar dijual, jadi kita (di Pulau Pinang) perlu dibina lebih banyak RMM,” ujarnya.

Sebelum pada itu, Jagdeep memberitahu bahawa jumlah unit RMM pelbagai kategori yang dalam perancangan dibina, sedang dibina dan siap dibina di Pulau Pinang adalah sejumlah 126,816 unit; sebagai menjawab soalan bertulis yang dibangkitkan ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut menjawab soalan ADUN Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman mengenai usaha Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dalam menangani isu senarai menunggu untuk memberi RMM pertama dalam kalangan rakyat negeri ini.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN