GEORGE TOWN – The Floral Tea Mansion atau Rumah Teh Bunga yang terletak di No. 138 Jalan Hutton bakal disenaraikan sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, Kerajaan Negeri menyokong supaya rumah agam lama itu diwartakan sebagai bangunan warisan kerana nilai sejarah yang terdapat padanya.
Buat masa ini, Pulau Pinang mempunyai 11 bangunan yang diwartakan sebagai bangunan warisan negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
“(Dan) Rumah Teh Bunga bakal menjadi bangunan kedua belas yang bakal diwartakan nanti,” ujarnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 29 Mei 2024.
Berdasarkan senarai yang dikemukakan oleh Hon Wai, 11 bangunan warisan yang diwartakan adalah bangunan Lembaga Muzium Pulau Pinang, Lebuh Farquhar; Dewan Bandaran dan Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Padang Kota Lama; Menara Jam Peringatan Ratu Victoria, Lebuh Light dan Gereja St.George di Lebuh Farquhar.
Selain itu, Makam Sheikh Omar, Air Itam; Masjid Melayu Lebuh Acheh, Lebuh Acheh; Masjid Kapitan Keling, Jalan Kapitan Keling; Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Lebuh Farquhar; Leong San Tong Khoo Kongsi, Lebuh Cannon; Penang Free School, Jalan Masjid Negeri dan Batu Bertulis Cherok To’Kun, Bukit Mertajam.
Mengulas mengenai cadangan ADUN Teluk Bahang, Muhamad Kasim untuk menjadikan kampung tradisi di Balik Pulau Sebagai ‘Kampung Warisan’ di bawah pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Hon Wai memaklumkan bahawa suatu kajian terperinci perlu dilakukan dengan bantuan agensi berkaitan bagi mengenal pasti ciri-ciri dan kriteria mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Malah, berdasarkan Inventori Bangunan Warisan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), beberapa buah rumah kedai, monumen, pejabat daerah, sekolah, gereja dan kuil di Balik Pulau telah dikenal pasti sebagai bangunan warisan yang perlu dipulihara dan dikekalkan seperti asal.
“PLANMalaysia Pulau Pinang juga telah membangunkan Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs) iaitu sistem pangkalan data dan analisis spatial maklumat geografi (GIS) desa yang komprehensif,” jelasnya.
Pada sesi sama, Hon Wai turut menyenaraikan 10 kriteria penetapan sebelum sesebuah monumen atau bangunan diwartakan sebagai bangunan warisan.
Berikut adalah 10 kriteria tersebut :
-
Melambangkan mahakarya yang mencerminkan daya kreatif dan kecerdasan manusia serta nilai yang berpengaruh secara signifikan terhadap budaya.
-
Menunjukkan keutamaan pada nilai-nilai kemanusiaan yang tidak berubah selama berkurun-kurun waktu tertentu dalam hal seni bina, teknologi, seni monumental, tata kota atau reka bentuk muka bumi.
-
Mengandung perincian atau bukti bahawa pernah ada ritual peradaban pada masa lampau yang tersisa atau telah lenyap.
-
Wujudnya rasa kekaguman pada sebuah bangunan, seni bina atau teknologi yang memiliki penggambaran tentang peristiwa penting dalam sejarah peradaban manusia.
-
Wujudnya rasa kekaguman pada sebuah tempat tinggal, tanah, atau perairan yang dapat melambangkan budaya atau interaksi manusia dengan lingkungan, khususnya yang masih terpelihara terhadap perubahan zaman yang signifikan.
-
Memiliki kaitan yang erat pada suatu peristiwa atau tradisi tertentu, dari sisi pemikiran, kepercayaan, artistik dan sastera.
-
Mengandungi fenomena alam luar biasa atau memiliki keindahan alam dan nilai estetika.
-
Wujudnya kepentingan yang melambangkan peristiwa utama dalam sejarah bumi termasuk usia, perubahan geologis, perubahan tanah, simbol geometrik atau fisiografi yang khas.
-
Wujudnya ciri utama yang memiliki peranan penting secara ekologi dan biologi terhadap evolusi dan perkembangan pola tanah, air, terumbu karang dan ekosistem bawah laut, serta kawasan ekosistem tumbuhan dan haiwan persekitaran.
-
Mengandungi habitat alami yang berperanan penting dalam pemuliharaan in-situ untuk keragaman biologi, termasuk spesies yang diancam yang bernilai khas dari sudut pandang sains dan konservasi.