Rumah terbuka, amalan raikan tetamu & kenalan – Exco

BATU MAUNG – Lebih 3,000 hadirin memeriahkan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan isteri, Datin Norazlina Md. Kharsa, di kediaman mereka di Jalan Jeliti di sini baru-baru ini.

Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika ditemui melahirkan rasa bersyukur atas kunjungan para tetamu yang memeriahkan majlis rumah terbuka yang diadakannya bersama isteri di sini.

“Saya gembira dengan sambutan yang diberikan dan amat menggalakkan budaya rumah terbuka seperti ini diteruskan bukan sahaja setiap kali sambutan perayaan, tetapi jadikan sebagai amalan meraikan tetamu dan kenalan.

“Alhamdulillah, sambutan tahun ini amat baik dan segalanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen antara kepimpinan negeri yang hadir pada majlis itu.

Turut sama, Betty Chew Gek Cheng, isteri kepada Ketua Menteri dan Konsul Jeneral Jepun, Ryuji Noda bersama isteri.

Pada majlis sama, Abdul Malik dan isteri turut menyumbangkan duit raya kepada kanak-kanak dan warga emas yang hadir.

Majlis yang serupa turut diadakan Abdul Malik di padang Bukit Gedung di sini dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu dari pelbagai lapisan usia dan bangsa. Sate, laksa, nasi beriani, ketupat palas, nasi himpit, kuah kacang, rendang dan kari ayam antara juadah istimewa yang disajikan pada majlis tersebut.