BALIK PULAU – Lebih 1,000 hadirin pelbagai bangsa menyertai sehari Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama-sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain di Kompleks Sukan Balik Pulau, di sini baru -baru ini.
Keraian yang membayangkan keharmonian serta kemajmukan kaum itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas serta isterinya, Toh Puan Majimor Shariff.
Pelbagai juadah raya seperti rendang, ketupat, lemang, nasi tomato, pasembur, sate, laksa dan ais kacang yang disediakan tidak mengecewakan pengunjung yang hadir.
Salah seorang pengunjung, Inchieda Yoshithuzu, 61, warga dari negara jolokan ‘Matahari Terbit’ dilaporkan antara yang hadir pada majlis keraian tersebut.
Beliau melahirkan perasaan terkejut dengan rakyat yang berbilang bangsa, umur serta kepercayaan boleh bersama sama mengharmonikan perayaan penting bagi umat Islam di negeri berkenaan.
“Ini sangat menarik kerana terdapat begitu ramai orang dari latar belakang kaum, berbeza dan umur.
“Dalam budaya saya, Tahun Baru Jepun hanya disambut dengan keluarga dan kawan –kawan.
“Jika saya mempunyai peluang, saya ingin membawa rakan-rakan Jepun saya di sini,” katanya.
Katanya, merancang untuk menyertai lebih banyak lagi keraian seperti itu sepanjang bulan Syawal ini.
Difahamkan, Ichieda bermukim di Pulau Pinang sejak enam tahun lepas di bawah program Malaysia Rumah Keduaku.
Pengalaman menempuhi kehidupan di negara panas dan lembab ini membuatkan hati beliau tertambat pada masakan nasi tomato sungguhpun diakui sedikit pedas baginya.
Sharifah Mazrah Sayed Mohamed Zain, 30, turut meluahkan perasaan gembira selepas menyertai rumah terbuka tersebut bersama-sama suami serta tiga anaknya.
“Ini sebenarnya untuk menghabiskan masa sepanjang Hari Raya di Pulau Pinang kerana saya dari Selangor manakala suami adalah tempatan,” katanya yang juga pegawai penyelidikan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Datuk Mansor Othman (Timbalan Ketua Menteri I) serta beberapa Exco Kerajaan Negeri seperti Chow Kon Yeow, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Law Choo Kiang dan Wong Hon Wai turut hadir pada keraian rakyat tersebut.
Hadir bersama pada majlis itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain seperti Koid Teng Guan, Sim Tze Tzin, Jason Ong Khan Lee dan S. Raveentharan.