Rumah Terbuka Tahun Baru Cina KM meriah

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

ABDUL Rahman Abbas ( tengah) , Mansor Othman (tiga dari kiri), P. Ramasamy (dua dari kiri) dan Farizan Darus (kiri sekali) tidak melepaskan peluang mengaul Yee Sang bersama Ketua Menteri dan isteri.
ABDUL Rahman Abbas ( tengah), Mansor Othman
(tiga dari kiri), P. Ramasamy (dua dari kiri) dan Farizan Darus (kiri sekali) tidak melepaskan peluang mengaul Yee Sang bersama Ketua Menteri dan isteri.
KETUA Menteri (dua dari kiri) dan isteri, Betty Chew (tiga dari kiri) ramah melayan tetamu berbilang bangsa yang hadir pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri di PISA baru-baru ini.
KETUA Menteri (dua dari kiri) dan isteri, Betty Chew (tiga dari kiri) ramah melayan tetamu berbilang bangsa yang hadir pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri
di PISA baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Lebih 10,000 pengunjung menyerbu rumah terbuka Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sempena Tahun Baru Cina di Pusat Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), di sini, baru-baru ini.

Majlis yang bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir tiga jam kemudian, menjadi tumpuan orang ramai bukan saja dalam kalangan penduduk tempatan, malah, turut disertai semua lapisan masyarakat di negeri ini termasuk para pemimpin untuk sama-sama memeriahkan sambutan tahun naga tersebut.

Guan Eng mula menjadi tumpuan orang ramai sebaik tiba kira-kira jam 9.30 pagi, pengunjung termasuk kanak-kanak mengambil peluang bergambar bersama beliau. Beliau yang hadir diiringi isteri, Betty Chew dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak melepaskan peluang untuk meraikan Tahun Baru Cina yang pastinya menjanjikan sesuatu yang lebih baik daripada tahun lepas.

Selain itu, para pengunjung disajikan dengan persembahan kebudayaan, acara nyanyian, tarian dan persembahan boria dari kumpulan kebudayaan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) yang menjadi simbolik negeri.

Hadir sama ke sambutan rumah terbuka adalah Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Datuk Dr. Hilmi Yahya.