RUU Perladangan Unggas Negeri Pulau Pinang 2020 diterima majoriti sebagai Enakmen Negeri

GEORGE TOWN – Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perladangan Unggas Negeri Pulau Pinang 2020 diterima secara majoriti oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebagai Enakmen Negeri setelah bacaan kali ketiga dipersetujui tanpa sebarang pindaan.

RUU tersebut dibentangkan oleh Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin dengan bertujuan mengawal selia segala aktiviti berkaitan perladangan unggas agar dapat dibangunkan dengan sistem penternakan moden dan mesra alam di samping menjamin bekalan makanan negara yang selamat dimakan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu, cadangan RUU tersebut dilihat dapat memantau aktiviti penternakan unggas supaya lebih teratur serta terkawal.

“Industri unggas di negara ini mempunyai rantaian lengkap dari ladang hingga ke meja makan.

Semasa proses rantaian makanan berjalan, keselamatan makanan merupakan aspek paling penting dalam memastikan bekalan makanan yang bermula dari ladang bebas daripada segala penyakit dan bahan kimia terlarang agar produk akhir yang terhasil adalah selamat untuk diedarkan kepada pengguna.

“Pengurusan perladangan unggas yang tidak mengamalkan amalan perladangan yang baik terutamanya dari segi kebersihan boleh menjadi punca utama penularan penyakit (zoonatik kepada manusia),” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas dekat Dewan Sri Pinang pada 19 Oktober 2020.

Mengulas lanjut, Norlela memaklumkan bahawa di Pulau Pinang, kebanyakan ladang unggas masih tidak mematuhi Amalan Perladangan Yang Baik atau Good Animal Husbandry Practices (GAHP) yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“(Setakat ini), daripada 381 buah ladang unggas di Pulau Pinang hanya 22 (buah) ladang unggas menukarkan sistem ladang terbuka kepada sistem tertutup dan hanya tiga (buah) ladang memperoleh pensijilan Malaysian Good Agricultural Practices (myGAP).

“Aspek-aspek biosekuriti ladang serta keperluan asas penternakan tidak diamalkan memandangkan kewujudan ladang-ladang lama yang diusahakan sejak 1960-an lagi dan masih mengekalkan struktur perladangan yang tidak menepati keperluan semasa.

“Kesemua aktiviti penternakan seharusnya menambah baik sistem penternakan atau perladangan agar selaras dengan kemajuan dan pembangunan di negeri ini,” gesanya.

Bagi tujuan pemantauan di ladang-ladang ternakan, Norlela memberitahu bahawa di Malaysia, hanya beberapa negeri yang telah menggubal peraturan dan kawalan berkaitan unggas yang ditadbir melalui undang-undang negeri.

“Bagi negeri Pulau Pinang, pelesenan serta pemantauan ladang unggas diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Berdasarkan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969, Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan No.2 2013 telah menyenaraikan fungsi JPV.

“Fungsi JPV yang disenaraikan adalah bertepatan dengan cadangan RUU Perladangan Unggas Negeri Pulau Pinang 2020 bagi membolehkan pentadbiran RUU ini diletakkan di bawah pentadbiran JPV Pulau Pinang (JPVPP),” jelasnya.

Tambah Norlela, industri penternakan adalah sangat penting bagi memastikan hasil pengeluaran ternakan mencukupi dan seterusnya menjamin kestabilan Tahap Sara Diri (Self Sufficiency Level, SSL).

“Sejak 1983, industri unggas telah melebihi 100 peratus SSL khususnya bagi daging ayam serta telur dalam negara.

“(Dan) berdasarkan Perangkaan Ternakan 2019 JPVPP, SSL bagi pengeluaran daging penternakan unggas adalah melebihi keperluan iaitu sebanyak 140.86 peratus berbanding penternakan lain.

“Malah, kepentingan industri ini tidak dilihat dari sudut pencapaian SSL, tetapi juga (dari) segi kecekapan dalam mengurus alam sekitar,” tegasnya.

Dalam pada itu, ADUN Bagan Jermal yang juga Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang menyokong usul berkaitan percaya dengan sistem reban tertutup lengkap sistem ventilasi terkawal, isu pencemaran dapat dicegah di samping menjamin mutu pengeluaran unggas yang lebih terjamin dari segi kualiti, kebersihan dan keselamatan.

 

(Sistem peladangan moden ini) juga dapat memberi jaminan serta membantu dari segi hasil eksport ke luar negara.

“Saya berpendapat bahawa setiap penternak unggas harus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan menerima hakikat bahawa sistem reban tertutup ini adalah lebih terkawal serta teratur serta menjamin keuntungan kepada penternak dan negeri,” ulasnya.

Mengulas lanjut, ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan mencadangkan agar satu pasukan petugas atau ‘task force’ yang diketuai oleh Exco berwajib dapat ditubuhkan.

Sebelum melaksanakan Enakmen Perladangan Unggas Negeri Pulau Pinang 2020, saya ingin mencadangkan bahawa Kerajaan Negeri boleh menubuhkan sebuah ‘task force’ yang diketuai oleh Exco Penanti (Norlela), wakil ADUN-ADUN yang berminat, pihak berkuasa tempatan iaitu MBPP dan MBSP, JPV Malaysia dan wakil Persatuan Penternak serta Peladang Pulau Pinang (Seberang Perai).

“(Tujuannya adalah) untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada mereka yang lebih arif kerana secara praktikal mereka ini lebih berpengalaman,” katanya yang turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri mewujudkan zon pertanian khas bagi industri unggas, kerbau, lembu dan khinzir pada masa hadapan.

Bagi ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik pula, dengan adanya Enakmen (dan Peraturan) Penternakan Babi dan RUU Perladangan Unggas yang akan dipertimbangkan untuk diluluskan, industri penternakan di Pulau Pinang akan mengharungi suatu transformasi ke arah penternakan moden.

“Walau bagaimanapun, RUU ini perlu disusuli dengan penyediaan peraturan-peraturan perladangan unggas, kaedah-kaedah kawalan pembangunan dan garis panduan daripada jabatan teknikal berkaitan bagi mengatasi kepincangan semasa Enakmen Penternakan Babi 2016 diluluskan,” katanya.

Turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Perladangan Unggas Negeri Pulau Pinang 2020 ialah; ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah; ADUN Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor; ADUN Bukit Tinggi, Gooi Hsiao-Leung dan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN & AHMAD ADIL MUHAMAD