Sabar dua ahli kariah dipuji, KM beri ganjaran

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM – Dua anak kariah yang berjaya menangkap dalang membaling bungkusan daging khinzir ke kawasan Masjid Jamek Telaga Air dekat kawasan Parlimen Bagan barubaru ini diberi ganjaran daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Dua anak kariah berkenaan, Muhamad Nazri Hashim, 44, dan Muhd. Hasmadi Ahmad Tuah, 24.

“Cara ahli kariah ini menangani masalah ini dengan penuh sensitiviti dan penuh kesabaran, saya rasa, itulah ajaran Islam yang sebenar.

“Inilah ajaran Islam, iaitu sebagai agama yang mengajar aman damai dan bukanlah tindakan provokasi seperti dipaparkan pihak-pihak tertentu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan di sini.

Pada sidang media itu, Guan Eng turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM54,000 untuk tujuan pemasangan aksesori keselamatan seperti pagar dan lain-lain, sebagaimana dimohon oleh jawatankuasa kariah berkenaan di masjid berkaitan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharen turut menyertai majlis ringkas itu.

Pemimpin Kerajaan Negeri turut dibawa oleh Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Telaga Air, Razuan Hashim melihat kawasan kejadian di sini.

Muhamad Nazri memberitahu, kejadian serupa berlaku sebanyak lapan kali dalam tempoh tiga bulan sebelum suspek terbabit berjaya diberkas.

“Kita buat intipan tiap-tiap malam atas nasihat polis sendiri, sehinggalah tindakan suspek pada hari kejadian berjaya dihidu oleh Hasmadi (Muhd. Hasmadi) dan diberkas oleh ahli kariah.

“Kalau nak bising dan heboh, kita pun boleh buat provokasi tidak matang sebegitu, tetapi, ini bukan caranya,” jelas Muhamad Nazri.

Tambah beliau, ahli kariah mengambil jalan bersabar dan terus membuat intipan kira-kira tiga bulan, susulan nasihat polis dan pemimpin kariah.

“Kami diberitahu bahawa siasatan polis mendapati suspek mempunyai masalah mental,” ujarnya.

} else {