Sahut seruan percepatkan PICK, Kerajaan Negeri giat tambah kapasiti dan pengurusan PPV

Admin

PULAU TIKUS – Menyahut seruan Persekutuan untuk mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Kerajaan Negeri Pulau Pinang giat menambah kapasiti dan pengurusan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

Dalam tempoh ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri sedaya-upaya menambah bilangan operasi PPV, kapasiti suntikan harian dan juga penambahbaikan pengurusan sedia ada.

Chow Kon Yeow ketika meninjau proses vaksinasi di PPV Hospital Adventis.
Chow Kon Yeow ketika hadir meninjau proses vaksinasi di PPV Hospital Adventist.

Menurut beliau, segala kekurangan yang timbul akan diperbaiki serta diatasi melalui semangat kerjasama berpasukan di antara semua pihak terlibat.

“Sememangnya ada perkara yang perlu diperbaiki lagi, namun semua pihak akan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memastikan program PICK ini dapat dipercepatkan sepertimana seruan Persekutuan, sekali gus mencapai sasaran imuniti kelompok ditetapkan secepat mungkin.

“Dalam masa sama, Persekutuan mestilah komited untuk membekalkan jumlah vaksin yang mencukupi memandangkan segala sokongan logistik dan PPV telah disediakan dalam usaha untuk menyokong misi terpenting ini.

Perjalanan program vaksinasi di PPV swasta berjalan lancar ketika ini.

“Dengan lengkapnya komponen major ini iaitu fasiliti, logistik, sumber tenaga dan vaksin… kita mampu percepatkan PICK di negeri ini,” ujarnya sebagai mengulas perkembangan terkini program imunisasi di Pulau Pinang.

Kon Yeow sebelum itu sambil ditemani Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Lee Chun Kit (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Pulau Tikus) dan Dato’ Abdul Razak Jaafar (Setiausaha Kerajaan Negeri) dibawa meninjau pengoperasian PPV Adventist oleh Ketua Pegawai Eksekutif Adventist Hospital, Ronald Goh.

Difahamkan bahawa PPV Adventist yang beroperasi lima hari seminggu dari Isnin hingga Jumaat mampu menampung di antara 50 hingga 100 penerima vaksin sehari.

Chow Kon Yeow bersama barisan pentadbir Hospital Gleneagles ketika mengadakan lawatan pagi tadi 

Sejurus itu, Kon Yeow turut meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk meninjau perjalanan program vaksinasi di PPV Hospital Gleneagles.

Sejak beroperasi pada 21 Jun lalu, Hospital Gleneagles difahamkan menerima 100 dos vaksin sehari untuk diberikan kepada rakyat di negeri ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yeow menyeru agar lebih banyak hospital dan klinik swasta tampil menjadi PPV bagi mempercepatkan lagi program vaksinasi di negeri ini.

Chow Kon Yeow sedang menyantuni salah seorang penerima vaksin.

Pada masa sama, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan agar menambah kapasiti dos harian vaksin COVID-19 di klinik-klinik dan hospital swasta mengikut kemampuan masing-masing.

“Contohnya Hospital Gleneagles bermula dengan 100 dos setiap hari tetapi mestilah berdasarkan kemampuan, jumlah itu boleh ditambah kepada 200 atau 300 dos sehari,” ulasnya.

Kakitangan kesihatan Hospital Gleneagles membantu melancarkan proses vaksinasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles, Ivan Loh menyatakan bahawa pihaknya sedia menambah kapasiti dos vaksin berdasarkan kemampuan yang ada ketika ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Razak yang juga Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) peringkat negeri sebagai mengulas berkata bahawa pihaknya kini menerima beberapa proposal untuk mengguna pakai pendekatan PPV mobile (unit bergerak) membabitkan bas, dan perkara tersebut dalam pertimbangan untuk diputuskan pada tempoh terdekat.

“Kita akan melihat beberapa opsyen untuk penggunaan PPV mobile ini bagi menjalankan vaksinasi di kawasan luar bandar serta komuniti yang tidak dapat hadir ke PPV.

“Selain itu, ada cadangan untuk menjadikan Hotel Equatorial dan PPV Sungai Bakap sebagai PPV industri bagi mempercepatkan vaksinasi kepada petugas barisan hadapan di sektor ekonomi di negeri ini,” tambahnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video: LAW SUUN TING & CHAN KOK KUAN