Salur aduan melalui aplikasi WhatsApp dapat sambutan memberangsangkan

dav

GEORGE TOWN – Sejak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluncurkan saluran baharu aduan, Hotline Aduan menggunakan aplikasi WhatsApp pada 26 Oktober lalu, sambutan orang ramai cukup memberangsangkan.

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, pihaknya telah menyediakan 15 saluran aduan bagi memudahkan orang ramai berinteraksi secara terus dengan MBPP tanpa sempadan masa dan tempat.

Antaranya kita (MBPP) mempunyai saluran aduan seperti e-Aduan, surat-menyurat, emel dan panggilan telefon, tetapi setelah sebulan diluncurkan, saluran aduan menggunakan aplikasi WhatsApp ini mendapat respons yang sangat memberangsangkan,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 12 dekat Dewan Bandaraya pagi ini.

AR. Yew Tung Seang (kiri) pada sidang media di Dewan Bandaraya pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali serta barisan Ahli Majlis MBPP.

Menurut Tung Seang, penyediaan platform baharu itu adalah sejajar dengan perkembangan teknologi dan trend semasa.

Kami (MBPP) sangat gembira dengan sambutan yang diberikan dan berharap ia akan memudahkan lagi orang ramai untuk berinteraksi secara terus dengan MBPP sama ada menyalurkan aduan mahupun maklumat lain yang ingin dikongsi untuk perhatian pihak kami.

Selain itu, saya percaya melalui penggunaan aplikasi WhatsApp ini juga ia akan mempercepatkan lagi tempoh untuk MBPP bertindak,” katanya.

Difahamkan, saluran aduan melalui penggunaan aplikasi WhatsApp merupakan kedua paling popular selepas saluran aduan secara elektronik, e-Aduan.

Orang ramai yang ingin berinteraksi secara terus dengan MBPP menggunakan aplikasi WhatsApp ini, boleh menghantarkan maklumat berkaitan berserta gambar dan lokasi ke Hotline Aduan di talian 016-200 4082.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI