SUNGAI DUA – Sehingga 2 petang tadi, 70 peratus daripada 120,000 pengguna sekitar Daerah Barat Daya (DBD) yang mengalami gangguan bekalan air terawat berjaya dipulihkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan memberitahu Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bahawa proses pemulihan bekalan air terawat yang berbaki 30 peratus kepada pengguna termasuk mereka yang menetap di talian akhir (EoL) serta kawasan tanah yang lebih tinggi, secara berperingkat dijangka pada lewat hari ini juga.
“Sebanyak 14 lori tangki PBAPP, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) telah bertungkus-lumus menyalurkan air kepada para pengguna terjejas sejak 20 Disember 2023..
“Mulai jam 10.30 pagi tadi, 15 lori tangki air luar stesen tambahan dari Air Kelantan, Air Selangor, Lembaga Air Perak, Pengurusan Air Pahang, Syarikat Air Johor, Syarikat Air Melaka dan Syarikat Air Terengganu turut dikerahkan untuk membekalkan air kepada pengguna terjejas.
“Sambil berusaha untuk mencapai pemulihan perkhidmatan bekalan air 100 peratus secepat mungkin, pasukan PBAPP juga memantau dengan teliti prestasi bahagian saluran paip yang dibaiki bagi memastikan ia tidak pecah lagi,” jelasnya kepada Kon Yeow dalam lawatan khas dekat Pusat Pengarahan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini pada 22 Disember 2023.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi turut menyertai Kon Yeow meninjau proses pemulihan sumber bekalan air terawat kepada pengguna terjejas di sini tadi.
Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa saluran paip air di dasar Sungai Perai itu dibina sebelum tahun 1996 iaitu sebelum PBAPP dikorporatkan lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa saluran paip berusia kira-kira 27 tahun tersebut baru-baru ini bocor lagi sekitar 11.45 pagi semalam (21 Disember 2023) sungguhpun kerja-kerja kimpalan saluran paip tersebut telahpun dilaksanakan oleh pihak PBAPP.
Justeru, Kon Yeow memberitahu bahawa PBAPP dalam pelan jangka panjang pada tahun 2024 akan membina saluran paip baharu merentasi atas Sungai Perai dengan kos RM5 juta serta bakal mengambil masa pemajuan selama lapan bulan.
“Ini, bermakna saluran paip baharu itu akan lebih mudah diselenggara pada masa hadapan, kerana ia akan disokong oleh struktur di atas sungai Sungai Perai.
“Perkara segera ini akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah PBA Holdings Bhd (PBAHB) untuk kelulusan tidak lama lagi kerana ia melibatkan saluran paip utama yang menyalurkan air setiap hari dari Loji Rawatan Air Sungai Dua kepada lebih 100,000 pengguna air di Pulau Pinang,” ujarnya lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT