Samakan Melayu Pulau Pinang dengan Palestin tak berasas, tuduhan liar – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

GEORGE TOWN – Tidak logik dakwaan pemimpin tertentu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pulau Pinang menyifatkan kehilangan tanah milik Melayu di negeri ini adalah sama seperti tanah rakyat Palestin yang dirampas oleh rejim Zionis-Israel.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dakwaan tanpa asas pemimpin pembangkang Pulau Pinang itu berkemungkinan adalah tidak benar serta suatu tuduhan liar.

“(Kenyataan pemimpin PAS Pulau Pinang berkenaan) semestinya tidak betul, suatu tuduhan yang liar (serta) tak berasas,” responsnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang seusai merasmikan Majlis Pembukaan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di sini pada 16 Jun 2023.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini tidak menyimpan data statistik pemilikan tanah mengikut kaum.

Kelmarin, sebuah portal berita arus perdana melaporkan PAS kembali memainkan isu agama dan kaum, yang mana pada kali ini dilihat cuba menyamakan isu pemilikan tanah di Pulau Pinang dengan keadaan di Palestin serta Israel.

Memetik sumber, parti berkaitan mengetengahkan isu tersebut di media sosial dan membangkitkan bagaimana Israel menguasai tanah Palestin dari 1.5 peratus pada 1918 sehinggalah rakyat Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.

Menurut artikel berkaitan juga, ia turut mendakwa bahawa kajian pada 2010 mendapati pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus dan mendakwa Pulau Pinang membuat “rampasan bersistem” dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya majoriti Melayu-Islam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING