HOMESTAY Kampung Agong dekat Penaga menjadi antara destinasi pelancongan utama bagi pengembara yang menyambung cuti perayaan mulai hari ini hingga 8 Mei 2021.
Demikian kata Pegawai Pemasaran pelancongan rumah inap desa berkenaan, MOHD. IKRAM IZZAT, 23, kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di sini pada awal pagi tadi.
“Sejak bulan Ramadan lagi, Homestay Kampung Agong dibuka setiap hari mulai 9:00 pagi hingga 6:00 petang.
“Sejak Hari Raya Aidilfitri yang pertama (2 Mei 2022 bersamaan 1 Syawal 1443H), tempat kami dibuka seperti biasa.
“(Dan), ladang kuda merupakan antara tarikan baharu yang ada untuk dinikmati, sama ada pengunjung domestik mahupun pengembara antarabangsa
“Kalau datang semalam, mungkin boleh mendapatkan maklum balas daripada pengembara antarabangsa, satu bas dari Singapura yang datang ke sini dengan perkhidmatan firma pelancongan tempatan di Johor Bahru,” jelasnya.
Sebelum pada itu, tinjauan sejak jam 8:15 pagi mendapati kira-kira sembilan kereta sudah di bahu jalan; menunggu pintu parkir dibuka jam 9:00 pagi.
Salah seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai “Erma”, 38, memberitahu beliau sekeluarga dari negeri Melaka memilih untuk mengembara ke Kampung Agong sebelum bertolak pulang pada petang nanti.
“Kami sekeluarga, tujuh orang sudah lama tahu mengenai Kampung Agong ini menerusi media sosial, tetapi ini, kali pertama menjejakkan kaki ke sini.
“Sebenarnya kami baru sampai ke Pulau Pinang pada pagi tadi, sebelum ke kenduri saudara di sini, kami mengambil kesempatan ke Kampung Agong dulu,” ujarnya.
Nada hampir sama turut dikongsi MOHAMMAD AMIRUL ASYRAF, 29, pengembara domestik dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Setelah dua tahun tidak pulang ke kampung sebelah mak mentua di (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Penaga, sengaja pada kali ini sambung cuti raya, sebelum pulang pada Sabtu nanti.
“Walaupun kampung mak mentua saya di negeri Pulau Pinang, ini merupakan kali pertama saya, isteri (Nurul Amirah Ahmad, 29), dan anak-anak (Mohamad Amar Danish, 2, dan Nur Amanda Delisha, 8 bulan) datang ke sini (Homestay Kampung Agong).
“Kuala Lumpur pembangunan pesat, Kampung Baru pun hanya tinggal nama sahaja disebabkan pembangunan bergerak pantas, maka dengan datang ke Kampung Agong sedikit banyaknya mengimbau kenangan suasana kampung di samping merakamkan gambar kenang-kenangan,” katanya yang juga pegawai penyelenggara bangunan.
LEONG CHEE KEONG, 41, yang tinggal di Kuala Kedah, Kedah Darul Aman turut membawa keluarga berkunjung ke Kampung Agong bagi mengisi sambung cuti raya pada kali ini.
“Sudah dua tahun COVID-19, walaupun saya tinggal di negeri bersebelahan Pulau Pinang, tidak ke mana-mana.
“Jadi, bersempena sambung cuti raya kali ini, pada awal pagi tadi saya sekeluarga singgah di Kampung Agong terlebih dahulu sebelum menginap di Batu Feringghi (bahagian Pulau) pada tengah hari nanti,” ceritanya lagi.
Seorang lagi responden, ZAINAB ABDULLAH, 56, pengembara kelahiran Negeri Sembilan berkata inisiatif pihak yang bertanggungjawab mewujudkan kawasan pelancongan desa Kampung Agong.
“Bagi saya, dengan adanya pelbagai ikon kebudayaan desa di Kampung Agong ini, bukan sahaja akan memberi pendedahan kepada anak-anak kita mengenai keunikan desa kita, bahkan merancakkan ekonomi tempatan (menerusi sektor pelancongan).
“Bagi saya, sambung cuti raya (Aidilfitri) di Homestay Kampung Agong berbaloi,” jelasnya yang juga seorang berprofesion guru dan kini menetap bersama-sama keluarga di Melaka.
Difahamkan, purata pengunjung harian ke Kampung Agong sejak bulan Ramadan hingga kini adalah sekitar 800 hingga 1,000 orang; dan pernah menerima paling ramai dalam sehari adalah lebih 2,500 orang termasuk pengunjung antarabangsa.