Sambut baik sasaran pemeriksaan COVID-19 di asrama pekerja asing

Admin

TANJUNG BUNGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow akan menyokong segala usaha daripada Kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani wabak COVID-19 secara menyeluruh.

Terbaharu, beliau menyambut baik sasaran Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk melakukan pemeriksaan (COVID-19) di asrama warga asing.

“Ini merupakan kumpulan sasaran baharu, saya berharap pemeriksaan ini mampu capai seramai mungkin. Sebagai Kerajaan Negeri, kita akan sokong, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga akan sokong.

“Kita akan teruskan pematuhan yang dibuat oleh JKN dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), kita akan ketatkan penguatkuasaan daripada pihak Persekutuan dan tidak akan sesekali melonggarkannya, itu adalah prinsip.

“Manakala, berkenaan isu ekonomi, kita harap Kerajaan Pusat akan dahului, di pihak Kerajaan Negeri pula, kita turut memikirkan tentang fasa pelan pemulihan,” ujarnya kepada Buletin Mutiara pada lawatan khas ke Pasar Awam Tanjung Bunga di sini pagi ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari.

Kon Yeow dalam pada itu turut mengulas mengenai prestasi baik Pulau Pinang dengan tidak merekodkan sebarang kes jangkitan COVID-19 selama sembilan hari berturut-turut.

Menurut beliau, ‘pencapaian’ tersebut menunjukkan disiplin rakyat dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pematuhan PKP di Pulau Pinang adalah melebihi 99 peratus sehingga hampir tamat fasa ketiga kini.

“Ini menunjukkan orang ramai mematuhi jarak sosial serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa kerana kita semua mengetahui bahawa ini merupakan langkah yang perlu dalam mencapai kemenangan menentang ancaman COVID-19 secepat mungkin.

“Melawan COVID-19 belum tamat selagi mana ia belum diisytiharkan tamat, saya turut menyambut baik penyambungan PKP dalam tempoh dua minggu (29 April hingga 12 Mei) lagi sebagaimana diumumkan Perdana Menteri semalam.   

“Malah, Ketua Pengarah Kementerin Kesihatan Malaysia (KKM) juga gembira dengan pencapaian negeri di Semenanjung utara, dan saya harap kita (Pulau Pinang) teruskan pencapaian baik semasa PKP keempat iaitu capai objektif, hentikan penyebaran serta putuskan rantaian COVID-19,” serunya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Selepas lawatan di Tanjung Bunga, Kon Yeow meneruskan ziarah ke Pasar Awam Pulau Tikus dengan mengedarkan pelitup muka bersama-sama ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Beliau kemudian menyantuni 80 isi rumah dengan penyampaian sumbangan barangan keperluan di Kampung Sirih, Lengkok Burma.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Midland, Tan Ching Hong ketika ditemui menyatakan bahawa usaha tersebut adalah bagi membantu penduduk kampung yang terkesan dalam tempoh PKP.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang menaja barangan seperti sayur dan sebagainya, diharapkan lebih banyak pihak dapat tampil dalam meringankan beban rakyat yang terkesan,” ulasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG

Video : CHAN KOK KUAN