Sambut baik usaha berterusan anjur pertandingan sukan

BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa tempoh dua tahun sebelum ini telah meninggalkan ‘kesan emosi’ kepada sektor sukan ekoran pandemik COVID-19.

 

Menurut beliau, setelah melalui tempoh sukar tersebut, kebanyakan sektor sudah mula beroperasi penuh pada peralihan fasa endemik.

 

“Justeru, saya sambut baik usaha-usaha persatuan sukan dan barisan penaja yang giat menjalankan pertandingan-pertandingan sukan yang telah lama terhenti kini.

 

“Yang mana ia secara tidak langsung telah menghubungkan semula pasukan-pasukan serta penggiat sukan seluruh negara,” ujarnya pada Majlis Penutup Malaysia Masters Volleyball Championship yang berlangsung dari 12 hingga 14 Ogos 2022 dekat Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam; Joseph Ng Soon Siang; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengerusi Persatuan Bola Tampar Pulau Pinang (PVA), Datuk Seri Yeoh Cheng Bah dan Naib Pengerusi PVA, Fong Hock Guan.

 

Pada kejohanan tersebut, pasukan United Power Station VC muncul juara setelah menewaskan Lagenda VC.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sebagaimana lain-lain acara, sukan bola tampar juga memerlukan semangat kerjasama dan kental bagi melawan serta melalui tempoh pandemik COVID-19.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : ALISSALA THIAN