PROGRAM Perumahan Rakyat (PPR) Taman Tun Sardon (TTS) bakal berwajah baharu ekoran pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengenai kerja-kerja menaik taraf yang akan dilaksanakan nanti.
Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL, bersama-sama jurugambar MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR berkesempatan mendapatkan maklum balas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng mengenai projek menaik taraf tersebut.
Menurut Hooi Peng, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) amat prihatin serta menjaga kebajikan penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima.
“PPR TTS bakal menjadi kawasan yang lebih berdaya huni dan berdaya saing, atas sokongan yang diberikan oleh KPKT.
“Peruntukan sebanyak RM750,000 disalurkan khusus untuk kerja penyelenggaraan, termasuk pemasangan bumbung baharu dan pendawaian terhadap beberapa blok telah siap pada tahun ini,” ujarnya menerusi perbualan telefon sebentar tadi.
Tambah Hooi Peng, penduduk sekitar turut menyambut baik usaha yang dilakukan oleh pihak KPKT dan Kerajaan Negeri untuk melestarikan lagi kawasan di sekitar TTS.
“Penduduk di TTS sangat menyambut baik usaha ini dan berharap pembaharuan yang bakal dilaksanakan ini bakal membawa keceriaan dan menjamin keselesaan penduduk.
“Secara tidak langsung, ia dapat memupuk keharmonian dan semangat perpaduan dan berdaya saing dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Pada kesempatan sama, Hooi Peng turut merakamkan penghargaan atas peruntukan yang disalurkan bagi projek pembaikan kompleks makanan di TTS.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan KPKT atas peruntukan yang diberikan untuk kerja-kerja menaik taraf kompleks makanan berkenaan.
“Pihak MBPP turut menambah sejumlah RM2.3 juta untuk projek pembaikan ini dan dijangka mengambil masa 15 hingga 18 bulan untuk disiapkan,” jelasnya.