Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING & CHAN LILIAN
MUAFAKAT… Sambutan perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya disambut secara sederhana dan penuh bermakna dalam suasana perpaduan rakyat berbilang bangsa di negeri ini.
Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, sambutan perayaan utama bagi penganut beragama Hindu diraikan dalam majlis rumah terbuka, Majlis Perayaan Deepavali 2014 bersama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.
Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih tidak ketinggalan menyalakan ‘kutthuvilakku’ atau pelita sebagai simbolik perpaduan dan kejayaan penganjuran majlis rumah terbuka tersebut. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.
Dalam ucapannya, Guan Eng menyeru agar semua rakyat dapat bersatu tanpa mengira latar belakang demi kemajmukan dan kesinambungan perpaduan rakyat.
Manakala di Seri Delima, sambutan yang diadakan di Taman Buah Pala cukup meriah dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh Deo.
Turut sama, isteri kepada mendiang Karpal Singh, Gurmit Kaur dan isteri kepada ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer iaitu S. Komala.
Rayer ketika ditemui berkata, semangat kemuafakatan dan keharmonian pelbagai kaum harus dikekalkan bukan sahaja menerusi tradisi rumah terbuka, tetapi juga sikap bertoleransi. Selain jamuan makan , pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kesenian tarian klasik India.Seramai 50 kanak-kanak menerima ‘duit raya’ yang disampaikan oleh Rayer dan Ram Karpal.
Sementara itu, di Air Itam, lebih 300 orang dari pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat hadir ke majlis sumbangan dan jamuan sempena Deepavali di Kampung Melayu dekat sini.
ADUNnya, Wong Hon Wai turut meluangkan masa menyampaikan 50 hamper kepada masyarakat India yang kurang berkemampuan di sini.