Sambutan Hari Bandaraya 2021 akan dilaksanakan secara normal baharu

GEORGE TOWN – Acara tahunan City Walk sempena sambutan Hari Bandaraya Tahun 2021 buat julung kalinya akan dilaksanakan mengikut budaya normal baharu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, penganjuran bersejarah berkenaan yang mendapat sambutan lebih 10,000 penyertaan saban tahun terpaksa dilakukan secara norma baharu ekoran negara masih berjuang menentang wabak COVID-19.

Walau bagaimanapun katanya, demi tidak menghampakan warga Pulau Pinang, pihak Majlis akan mengantikan acara tahunan tersebut dengan penganjuran Hari Terbuka Bandaraya.

“Kemuncak program Hari Terbuka Bandaraya ini adalah acara 30 minit Zumba yang akan diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal di Stadium Bandaraya, Taman Bandaraya dan Espalanade serta secara maya di mana-mana tempat persendirian melalui Facebook rasmi MBPP.

“Ia akan berlangsung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan kawalan bilangan peserta, kedua-duanya (fizikal dan maya) akan berlangsung serentak mulai jam 7 pagi pada 1 Januari 2021,” ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang berlangsung tadi pagi.

Turut serta Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-Ahli Majlis dan ketua-ketua jabatan MBPP.

Orang ramai diseru membuat pendaftaran awal bermula 18 Disember ini melalui pautan link yang akan dipaparkan di Facebook rasmi MBPP dan laman portal MBPP di www.mbpp.gov.my sebelum 31 Disember 2020.

Difahamkan bahawa MBPP akan memilih 200 peserta bertuah yang memuatnaik gambar atau rakaman video Zumba Hari Bandaraya (minimum 5 saat) yang menarik di ruangan komen Facebook rasmi MBPP pada hari penganjuran. Peserta bertuah akan menerima hadiah berupa baucar/e-wallet Smart Parking sebanyak RM50 setiap seorang.

Selain itu, bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Bandaraya, Tung Seang memaklumkan bahawa MBPP akan membuka semua fasiliti kemudahan milikannya seperti balai rakyat, dewan dan Stadium Bandaraya secara percuma kepada orang ramai pada 1 Januari 2021 bermula jam 6.30 pagi sehingga 12 malam.

Jelasnya, walau bagaimanapun, orang ramai perlu membuat pendaftaran bermula 18 hingga 31 Disember 2020 bagi membolehkan pihak Majlis mengawal jumlah pengguna di sesebuah fasiliti bagi mengelakkan perebakan wabak COVID-19.

“Penggunaan Stadium Bandaraya untuk acara olahraga seperti larian, lompat jauh, lompat tinggi serta ruang ping pong, pendaftaran boleh dibuat melalui pautan di laman Facebook MBPP, manakala venue seperti balai rakyat untuk penggunaan gelanggang badminton dan tenis, pendaftaran boleh dilakukan melalui etempahan.mbpp.gov.my.,” tambah beliau.

Senarai balai rakyat yang akan dibuka pada hari tersebut adalah Balai Rakyat Bayan Baru, Balai Rakyat Padang Tembak, Dewan Pasar Awam Balik Pulau, Bali Rakyat Taman Sri Pinang, Balai Rakyat Taman Tun Sardon, Bali Rakyat Tanjung Bungah, Balai Rakyat Teluk Bahang, Balai Rakyat Batu Lancang, Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar dan Gelanggang Tenis Taman Jajar.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI