Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang disambut meriah

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Hari Kebangsaan Ke-60 Peringkat Negeri Pulau Pinang disambut meriah dengan penyertaaan daripada pelbagai lapisan masyarakat di Padang Kota Lama di sini 31 Ogos lalu.

Sambutan bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa dimulakan dengan pemeriksaan barisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Sejurus itu, acara diteruskan dengan nyanyian koir lagu NegaraKu dan Untuk Negeri Kita oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul; bacaan ikrar dan Rukun Negara oleh Sahabat Belia Pulau Pinang; deklamasi sajak; persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan persembahan memukau tempur tanpa senjata oleh
pasukan ATM.

Antara tetamu kehormat yang hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri; para ADUN; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Yang di-Pertua Majlis Perbandaran
Seberang Perai (MPSP) dan ketua-ketua jabatan.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 2,000 rakyat jelata serta pelancong-pelancong asing yang juga tidak melepaskan peluang menyaksikan perarakan tahunan berkaitan.

Sambutan tahun 2017 menyaksikan penglibatan lebih 5,700 anggota dan kakitangan daripada pelbagai agensi, merangkumi 75 kontinjen berjalan kaki serta berkenderaan (13).