Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri kembali dirai dengan penuh semangat patriotik

Admin

BUKIT TAMBUN – Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang kembali diraikan dengan penuh semangat patriotisme selepas dua tahun tidak diadakan susulan penularan pandemik COVID-19.

Bertempat di Aspen Vision City dekat Batu Kawan, sambutan pada tahun ini diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.

TYT Tun Fuzi Abdul Razak turut memeriahkan Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri tahun ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee;
Yang Dipertua ewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad serta wakil-wakil dari pelbagai agensi negeri dan Persekutuan juga turut hadir.

Pada majlis itu, tetamu yang hadir tetap menunjukkan semangat patriotiik yang tinggi dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia.

Tetamu yang hadir mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bersemangat.

Dalam ucapan beliau, Kon Yeow menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk yang terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP), Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pulau Pinang serta semua jabatan dan agensi Persekutuan serta Negeri yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut.

“Sepertimana yang semua sedia maklum, hari ini 16 September merupakan tarikh keramat yang diraikan bersempena sejarah pembentukan Malaysia daripada gabungan Malaya (Semenanjung) bersama Sabah dan Sarawak.

“Justeru, bagi menyemarak dan menyebarkan aura kemeriahannya, kita di peringkat negeri juga tidak ketinggalan meraikan hari bersejarah ini dengan pengisian kita yang tersendiri.

“Semoga majlis ini memberikan signifikasi yang mendalam kepada kita semua terutamanya dalam meraikan keunikan rakyat Malaysia yang dapat hidup dengan penuh toleransi, muhibah serta harmoni di bumi bertuah dan tercinta ini,” ucapnya pada majlis berkaitan di sini pagi tadi.

Ketua Menteri semasa menyampaikan ucapan.

Pada masa sama, Kon Yeow turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju meningkatkan nilai hadiah bagi juara perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan pada 31 Ogos lalu kepada RM3,000 berbanding hanya RM,1000 sebelum ini.

“Tempat kedua pula dinaikkan kepada RM2,000 berbanding RM750 manakala tempat ketiga sebanyak RM1,000 berbanding RM500 sebelum ini.

“Adalah diharapkan dengan peningkatan insentif ini, ia dapat menyuntik lagi semangat semua kontinjen yang mengambil bahagian dalam acara serta kategori yang dipertandingkan,” katanya sambil menambah bahawa sambutan tersebut yang diadakan dekat Padang Kota Lama dibanjiri hampir 20,000 orang.

Difahamkan, acara perbarisan bagi kategori pancaragam sekolah menyaksikan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing milik Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin dan SMJK Perempuan Cina Pulau Pinang.

Acara turut diserikan dengan persembahan tarian etnik di negara ini.

Kontinjen Kementerian Kejururawatan Malaysia (Pergigian) pula dipilih sebagai juara bagi kategori Institut Pengajian Tinggi/Latihan manakala Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bukit Mertajam (kedua) dan Universiti Sains Malaysia (ketiga).

Bagi kategori sektor swasta pula, kontinjen Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Bukit Mertajam diumumkan sebagai juara manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipilih sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga.

Kontinjen MBSP terus menggungguli acara perbarisan bagi sektor awam apabila dinobatkan sebagai juara dan pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing milik kontinjen Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS