Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 rai 29 penderma tegar

Admin
805b76c7 57e1 423c 8564 1435dc58d4b4

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha murni pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Pulau Pinang (HPP) yang terus menerus menganjurkan aktiviti menderma darah agar masyarakat sentiasa sedar akan kepentingannya secara konsisten.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini pada 30 Jun 2024.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong sebarang program dan aktiviti yang dilaksanakan selaras dengan Visi Penang2030 menerusi agenda memperkasakan rakyat melalui penyertaan masyarakat dalam merealisasikan aspirasi bersama ini.

“Bertemakan ’20 years of celebrating giving: Thank you blood donors!’, saya amat terharu dan bersyukur kerana Pulau Pinang dikurniakan masyarakat yang bersatu padu serta sedia membantu tanpa mengira latar belakang.

“Buktinya, pada tahun 2023, sebanyak 47,714 beg darah berjaya dikutip dari semua hospital Kementerian Kesihatan (KKM), ini telah menunjukkan bahawa rakyat Pulau Pinang sentiasa peka untuk menderma darah kepada insan yang lebih memerlukan,” katanya.

8d8d6437 a7af 4a05 ba4a 0eddc8e5d274

f3879f39 a159 43e6 b7bd 5bde677a18ae
SEKITAR gimik perasmian Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Timbalan Pengarah JKNPP, Dr S. Shameni Sunasundram; Pengarah Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr. Goh Hin Kwang; Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HPP, Dr. Soo Peng Yen serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memuji usaha warga kesihatan dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi, selamat serta berkualiti untuk memenuhi keperluan semasa.

“Saya juga turut difahamkan, sekurang-kuranganya sebanyak 130 beg sel darah merah diperlukan dalam satu hari di setiap hospital seluruh Pulau Pinang.

“(Dan) walaupun kutipan dan stok darah agak memberangsangkan di negeri ini, namun kita tidak boleh mengambil sikap leka kerana saban tahun keperluan dan penggunaan darah juga turut meningkat seiring peningkatan pelbagai jenis penyakit yang memerlukan transfusi darah.

“Sehubungan itu, saya berharap agar usaha murni ini akan terus menerus mendapat sokongan daripada barisan pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO) dan yang paling penting adalah rakyat supaya kita bersama-sama memainkan peranan penting dalam menjaga antara satu sama lain,” tambahnya.

89e70a96 7052 4792 964b 004c551f6699

e4eb4203 398c 4003 b10a 54a61ea01667
ANTARA barisan penderma yang menerima anugerah penghargaan khas sebentar tadi.

Pada majlis sama, seramai 29 penderma darah menerima penghargaan khas membabitkan golongan belia yang berusia 35 tahun dan ke bawah, yang telah banyak menderma darah serta menyelamatkan nyawa pesakit di negeri Pulau Pinang secara amnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING