GEORGE TOWN – Sambutan Hari Warisan George Town 2011 atau ‘George Town Festival 2011‘ bagi meraikan ulangtahun ketiga George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO telah berlangsung dengan jayanya sepanjang bulan Julai 2011.
Ketua Menteri di dalam ucapannya berkata, sesungguhnya rakyat Pulau Pinang amat berbangga dengan pengiktirafan yang telah diberikan oleh UNESCO pada 7hb Julai 2008.
“Bagi meraikan pengiktirafan yang diberikan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif mengumumkan tarikh 7hb Julai sebagai hari cuti umum kepada semua warga Pulau Pinang.
“Selaras dengan itu juga, ‘George Town World Heritage Incorporated’ (GTWHI) telah merangka lebih daripada 30 program dan acara yang sungguh menarik dan bertaraf antarabangsa untuk sepanjang bulan Julai ini bagi seluruh rakyat Pulau Pinang,” katanya ketika majlis pelancaran baru-baru ini.
Beliau menambah, sambutan tersebut merupakan peluang kepada masyarakat umum untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepelbagaian warisan dunia dan usaha yang diperlukan bagi melindungi, memelihara dan mempromosikan aspek warisan ketara dan tidak ketara bandar George Town.
“Diharap festival sebegini dapat menjadi platform terbaik dalam usaha untuk mempromosikan kebudayaan, warisan dan seni, sekaligus merancakkan lagi industri pelancongan negeri Pulau Pinang,” ujar beliau.