GEORGE TOWN –Perbarisan sempena ulang tahun Kemerdekaan Ke-55 peringkat negeri Pulau Pinang disambut dengan meriahnya di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini dengan penyertaaan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan agensi tempatan bertemakan “Sebangsa, Senegara, Sejiwa”.
Dianggarkan, seramai 5,799 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), unit beruniform dan 298 kenderaan termasuk basikal, motorsikal berkuasa tinggi serta kereta berarak seiringan melambangkan perpaduan yang kukuh antara rakyat di negeri ini.
Acara perbarisan yang berlangsung hampir tiga jam dimulakan dengan keberangkatan tiba Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff yang disambut oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Antara kontinjen yang turut mengambil bahagian adalah Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).