Sambutan Maulidur Rasul peringkat KADUN Seri Delima disambut penuh harmoni 

SEBAHAGIAN besar kontinjen yang memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul DUN Seri Delima baru-baru ini.

 

SERI DELIMA – Sambutan Maulidur Rasul peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima tahun ini disifatkan sebagai sambutan terbesar yang pernah diadakan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Syerleena Abdul Rashid berkata, sambutan Maulidur Rasul tahun ini lebih harmoni dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan fahaman.

“Tahun ini sambutan yang dikoordinasikan oleh Masjid Jamek Sungai Gelugor menerima sambutan menggalakkan dengan kira-kira 400 orang mengambil bahagian berarak sejauh 500 meter dari padang Koperasi Sungai Gelugor sehingga ke masjid ini.

 

“Saya berharap sambutan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa hadapan dengan skala yang lebih besar dan meriah,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Gelugor, Merasik Jabbar; Pengerusi Masjid Jamek Sungai Gelugor, Mohd. Ali Mohd. Yusof dan Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Sungai Gelugor; Mhd Nasir Yahya.

Selain perarakan 20 kontinjen, merangkumi badan bukan kerajaan (NGO), sekolah-sekolah sekitar Sungai Gelugor, sambutan diteruskan dengan jamuan makan, program keagamaan dan konvoi amal bermotosikal.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI