Santai Bersama Ketua Menteri bincang solusi ramai belia muflis

Admin
CHOW Kon Yeow (kanan) bersama-sama Hanafi Qasim Ahmad (moderator) dalam acara temu bincang Santai Ketua Menteri bersama-sama lebih 500 belia di SP Arena, Seberang Jaya pada 18 Jun 2023.

SEBERANG JAYA – Lebih 500 belia daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai program Santai Belia Bersama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagi membincangkan isu berkaitan kepentingan muda-mudi Pulau Pinang pada hari ini.

Seorang pemimpin belia yang mahu dikenali sebagai sebagai Firdaus Anuar berkata bahawa Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan dan negeri Pulau Pinang pada ketika ini wajar mencari solusi bagi menangani isu muflis dalam kalangan belia.

SELAIN membangkitkan isu ramai belia muflis perlu polisi sokongan daripada Kerajaan Negeri hari ini, Firdaus Anuar dalam sesi temu bincang Santai Ketua Menteri Bersama Belia di sini pada petang tadi turut menzahirkan kebimbangan berhubung politik perkauman melampau yang dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang Pulau Pinang belakangan ini.

Kata anggota Alumni Sidang Muda di bawah kendalian agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) itu lagi, Jabatan Insolvensi Malaysia pernah mendedahkan jumlah belia muflis pada 2020 sehingga Jun 2022 adalah seramai 10,137 orang.

Menurut sumber sama, tambah beliau, penurunan kes muflis bagi belia berumur bawah umur 25 tahun merekodkan 21 orang pada 2020 dan turun kepada 20 orang pada 2021, dan enam orang sahaja direkodkan sehingga Jun tahun lepas.

Walaupun jumlah kes muflis melibatkan belia di negara ini menunjukkan trend penurunan dalam tempoh tiga tahun sejak 2020, Firdaus meminta Kon Yeow menjelaskan apakah solusi dalam bentuk polisi kerajaan sekarang bagi menangani isu belia muflis di negara ini termasuk negeri Pulau Pinang.

“Yang pertama melibatkan ekonomi yang mana Ketua Menteri ada cakap bahawa Pulau Pinang berada pada tangga kedua atau ketiga (kedudukan terbaik) ekonomi negara, namun pada tahun lepas (2022) kita digembar-gemburkan dengan suatu isu iaitu belia muflis yang sekarang ini pun menjadi suatu fokus dalam Kementerian Belia dan Sukan.

“Jadi, persoalan saya adalah apakah pendekatan dan inisiatif daripada Kerajaan Negeri dalam membendung dan mengatasi masalah (ramai belia muflis) ini,” soalnya yang juga penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Sains Politik.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pada hujung Februari lepas dilaporkan Kerajaan Persekutuan ada menyatakan hasrat untuk meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.

“Berhubung isu belia muflis adalah membimbangkan, malah saya percaya baru-baru ini pun di Parlimen ada suatu pindaan baharu yang menangani sebahagian isu sedemikian,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Daripada segi lain, Kon Yeow memberitahu bahawa di samping peranan dimainkan Kerajaan Persekutuan, semua lapisan rakyat terutama kelompok belia juga wajar diasuh dengan literati pengurusan kewangan secara hemat demi mengelak risiko muflis.

“Bilangan rakyat kita (termasuk kelompok) belia menjadi muflis adalah disebabkan pengurusan kewangan (hatta) membawa pada isu ini berbangkit.

“Kadang-kala begitu banyak tanggungan apabila kita tidak dapat mengawal perbelanjaan, apakah yang patut dibelanjakan dan tidak dibelanjakan yang mana selalunya menjebakkan kita pada isu hutang kad kredit, bayaran ansuran rumah, kereta dan sebagainya,” ujarnya sambil menganggap isu tersebut memang wajar ditangani pada peringkat Putrajaya jika mahu menjana sokongan semua rakyat terutama kelompok belia.

Selain itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Perpaduan juga wajar meneliti punca sebenar di sebalik isu ramainya belia muflis terutama selepas pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“(Punca di sebalik) isu (ramai belia muflis) sebenarnya berlaku di mana… adakah pendapatan tidak mencukupi atau sebab lain,” ulasnya.

Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu lagi, Kerajaan Persekutuan seharusnya melihat tingkat pendapatan modal insan dalam kalangan belia hari ini sama ada sejajar dengan tingkat peningkatan kos sara hidup mereka atau sebaliknya.

Sesi temu bincang belia bersama-sama Kon Yeow berlangsung selama dua jam 15 minit, yang dikemudikan oleh moderator Hanafi Qasim Ahmad.

Dalam sesi temu bincang tersebut, Kon Yeow diajukan hampir 20 soalan sekitar isu politik dan sosioekonomi berkaitan belia Pulau Pinang, antaranya mengenai peranan Kerajaan dalam memastikan nasib belia dalam ekonomi terbela; kerjaya berkualiti dengan gaji mampu hidup wajar; kos sara hidup meningkat disebabkan kadar sewa rumah terlalu mahal serta solusi isu keciciran pelajar peringkat sekolah.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi; Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; ADUN Komtar Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang turut hadir di sini tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS