SAR Muhammad Hawari diteruskan pertengahan 2024 jika cuaca elok – Karki

57a3642f 4a86 44a3 a366 69ef2b3d9320

GEORGE TOWN – Sekiranya cuaca membenarkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim, 33 di sekitar kawasan pergunungan Everest akan digerakkan semula pada pertengahan bulan April hingga hujung Mei tahun hadapan dengan penglibatan seramai 500 orang malim gunung atau sherpa.

SAR orang kurang upaya (OKU) pendengaran berkenaan terpaksa dihentikan pada 16 Jun lepas atas faktor keselamatan serta keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

 

abeaabc4 6d47 48ae a8ea 6b383795cec4
NIVESH Karki

Pengasas Bersama Pioneer Adventure, Nivesh Karki, 35, berkata, pihaknya sedang menggembleng tenaga sherpa daripada pelbagai syarikat lain juga bagi menjejaki Muhammad Hawari.

“Kita akan menawarkan ganjaran kepada pihak yang berjaya menjejaki Muhammad Hawari supaya SAR kian proaktif.

“Pun begitu, kita tidak boleh memberi jaminan sama ada Muhammad Hawari dapat ditemukan dalam SAR pada pertengahan tahun hadapan kerana sebelum ini ada pendaki hilang pada tahun 1942 tetapi jasadnya ditemukan 77 tahun kemudian,” jelasnya dalam Majlis Perkongsian Pengalaman dan Tayangan Video ‘Pendakian Abadi’ Muhammad Hawari anjuran Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) di Balai Seni Lukis Negeri, Dewan Sri Pinang pada 15 Disember 2023.

 

86ebb2c0 ebd5 4f94 b143 c7629a6a064b
MUHAMMAD Hawari Hashim

17 Mei 2023, Muhammad Hawari yang juga kakitangan LMNPP bersama-sama Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub (kini Allahyarham) berada di Kem 4 (South Col) untuk ‘summit push’ ke puncak tertinggi dunia berkenaan.

Tepat 3.00 petang hari berikutnya, Muhammad Hawari disahkan berjaya menawan puncak Everest.

Hawari turut dari puncak gunung dan tiba di Kem 4 (South Col) bersama-sama seorang sherpa pada jam 1.30 pagi.

Muhammad Hawari diberitahu untuk tidur berehat dahulu, sementara beliau naik semula bagi membantu seorang lagi sherpa yang ketika itu bersama-sama Tuan Awang.

Seusai membantu Tuan Awang sehabis baik, sherpa kembali ke Kem 4 semula dan mendapati Hawari tiada di dalam khemah tempat beliau tidur dan rehat.

Ekoran itu, pihak sherpa segera melaporkan kepada pasukan Kem 2 melalui ‘walkie talkie’.

Sekitar jam 10.30 pagi, 8 orang sherpa telah melakukan SAR dari Kem 4 hingga Kem 2 namun tidak dijumpai dan proses mencari berlarutan sehingga jam 11 malam.

Sherpa yang terlibat telah menyemak setiap khemah di Kem 4 dan Kem 3 namun masih tidak dijumpai.

SAR Muhammad Hawari diteruskan pada 20 Mei 2023 dan terpaksa dihentikan pada 16 Jun lepas ekoran faktor keselamatan serta keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Mengulas lanjut, Karki memberitahu bahawa berdasarkan kenyataan sherpa yang menemani Muhammad Hawari, dia dilihat kali terakhir di Kem 4 pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Namun, kata Karki lagi, pihaknya serta sherpa yang mengiringi Muhammad Hawari tidak dapat mengesahkan sama ada dia mendaki semula atau turun ke bawah.

“Jika cuaca buruk, SAR mungkin terpaksa ditangguhkan lagi dan pencarian akan dilakukan tahun seterusnya (2025),” ujarnya.

 

a8afe18a 948e 49fa a52a d3ffa1eae2e0
ANTARA anggota keluarga Muhammad Hawari Hashim yang hadir dalam majlis tersebut, merakamkan gambar kenangan bersama-sama Haryany Mohamad (duduk, kanan sekali).
3eb7a319 66c9 4270 9cd7 98717c34c9d4
CHE Tom Hassan

Hadir sama isteri Muhammad Hawari, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, bersama-sama dua anaknya serta ibu mertuanya, Che Tom Hassan.

Dalam sesi soal jawab selepas itu, Che Tom berkata beliau berharap SAR pada pertengahan tahun hadapan dapat membawa pulang jasad Muhammad Hawari dalam keadaan apa sekalipun.

“Mak cik berharap (jasad) Muhammad Hawari dapat dijejaki dan dibawa pulang,” rintih beliau dalam majlis berkaitan sambil merakamkan penghargaan kepada Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad atas segala sokongan moral yang diberikan kepada keluarga Muhammad Hawari selama ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT