Saran ibu bapa dorong anak dalami pendidikan digital – Hui Ying

Admin
whatsapp image 2024 05 11 at 14.09.20 (1)

GEORGE TOWN – Ibu bapa disaran memberi dorongan kepada anak-anak untuk mendalami pendidikan digital dalam usaha melahirkan generasi mahir serta mampu menggunakan teknologi untuk menempuhi cabaran pada masa hadapan.

 

Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Smart TV dan Smart Board di Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley pada 11 Mei 2024.

 

Mengulas lanjut,  Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, ibu bapa juga harus menyesuaikan diri dengan ilmu pendigitalan di samping memberi sokongan kepada anak-anak dari segi jasmani dan intelek.

 

Sistem pendidikan masa kini sedang menuju ke suatu proses perubahan yang berpaksikan pendidikan digital melibatkan gabungan kemahiran, pengetahuan serta nilai teknologi diadaptasikan secara kreatif dan inovatif.

 

“Oleh itu, saya sarankan ibu bapa agar memberi dorongan kepada anak-anak untuk mendalami perkara ini (pendidikan digital),” ujarnya.

 

Pada majlis sama, Hui Ying turut mengumumkan sumbangan enam unit televisyen (TV) pintar dan satu unit papan pintar (smartboard) untuk dimanfaatkan oleh murid-murid di sini.

 

Selain itu, beliau juga memperuntukkan RM55,000 melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) tahun lalu bagi melaksanakan projek-projek penyelenggaraan di blok kantin, bilik reka bentuk dan makmal komputer menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM81,700.

whatsapp image 2024 05 11 at 14.09.19
LIM Hui Ying (berbaju kurung) berpeluang ‘menyertai’ latihan hoki usai majlis berkaitan di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hui Ying memberitahu bahawa pihak kerajaan mengambil maklum masalah sistem saliran yang dihadapi di SK Wellesley.

 

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan memohon peruntukan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menaik taraf sistem saliran di hadapan SK Wellesley ini.

 

“Sekiranya permohonan tidak diluluskan maka akan dimasukkan projek ini dalam bajet MBPP untuk tahun hadapan (2025).

 

Maka, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, saya telah meminta Ahli Majlis MBPP untuk mengkaji perkara ini dan berhubung dengan pihak sekolah untuk penyelesaian.

 

“Saya berharap melalui usaha ini, murid-murid tidak perlu lagi berjalan dalam takungan air dan boleh mengelak dari terjatuh ke dalam longkang,” jelasnya yang menjamin bahawa keselamatan dan keselesaan murid-murid adalah menjadi keutamaan.

whatsapp image 2024 05 11 at 14.09.21
LIM Hui Ying (berbaju kurung) merakam momen bersama-sama tetamu jemputan lain pada Majlis Perasmian Smart TV dan Smart Board di Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hui Ying juga berkesempatan meluangkan masa meninjau kawasan sekolah dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-49 sekolah berkenaan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut, Mohamad Zawawi Ahmad; Ahli Majlis MBPP, Alan Lim Wei Lun dan Benji Ang Ming Quan; Guru Besar SK Wellesley, Edi Osman Ahmad serta Yang Dipertua PIBG, Mohammed Rizwan Abdul Gafoor Khan antara yang turut serta dalam majlis berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : PEJABAT MP TANJONG