Saringan massa 17 Julai sasar 1,000 individu terutama di Mak Mandin, Ampang Jajar – ADUN Bagan Jermal

Admin
SOON Lip Chee

BAGAN JERMAL – Program saringan massa secara percuma yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri di Gelanggang Bola Keranjang Mak Mandin pada 17 Julai 2021 (Sabtu) mulai 9 pagi hingga 5.30 petang menyasarkan 1,000 penyertaan orang awam peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal terutama pekerja yang tinggal sekitar Mak Mandin dan kediaman berstrata dekat Ampang Jajar.

Mengumumkan perkara itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal berharap mereka yang berminat untuk menjalani ujian calitan (swab test) supaya segera membuat pendaftaran awal menerusi pejabat Majlis-Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat ataupun secara dalam talian menerusi http://penangsaring.selangkah.my.

“Selepas membuat ujian calitan, terus pulang ke rumah dan tunggu keputusan ujian dalam tempoh dua hingga tiga jam.

“Sekiranya positif, mereka akan dihubungi untuk ujian kali yang kedua menggunakan RTK-PCR dan langkah seterusnya,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat gelanggang tersebut di sini pada 15 Julai 2021.

Hadir sama, dua pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mohd Reza Ramli dan R. Surentharan; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ng Yee Siang; serta beberapa pegawai pihak berkuasa tempatan berkenaan.

MOHD Reza Ramli menjelaskan kira-kira 70 petugas dan sukarelawan serta anggota barisan utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengendalikan program saringan massa peringkat KADUN Bagan Jermal, kelak.
SIDANG media Soon Lip Chee (depan, tengah) tadi mengenai pemakluman program saringan massa yang dijadualkan pada Sabtu ini di tapak Gelanggang Bola Keranjang, Mak Mandin di sini.

Sebarang pertanyaan lanjut atau berkaitan proses pendaftaran peserta, boleh terus WhatsApp kepada Pusat Khidmat Rakyat ADUN Bagan Jermal, 012-413 0362 atau 010-562 2698 (Yee Siang).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS