Sarjan Mazlan anggap anugerah P.G.P pengiktirafan buat 2 RAMD

Admin
d96e47ff ca16 4d2a b827 973b6d5a6f40 SARJAN Mazlan Abdul Rahman.

GEORGE TOWN – Sarjan Mazlan Abdul Rahman, merupakan antara 236 individu yang menerima Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan pada hari pertama Istiadat Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang pada 27 Julai 2024.

Anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara berkenaan menerima menerima Pingat Gagah Perwira (P.G.P) atas kesanggupannya menggadai nyawa dengan terjun dari Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai bagi menyelamat satu pasangan yang terjatuh dalam kejadian pada awal tahun ini.

Penganugerahan P.G.P kepada Sarjan Mazlan bagi menzahirkan penghargaan terhadap keberanian dan semangat perwiranya.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama barisan Exco Kerajaan Negeri serta barisan tetamu kehormat lain turut menyaksikan majlis penyampaian anugerah bermakna tersebut.

Sarjan Mazlan yang ditemui kemudian berharap penganugerahan P.G.P membakar semangat dalam diri serta pengiktirafan kepada rakan-rakan dalam 2 RAMD.

 

8dbc4e32 d0c7 4322 9865 aab392cb561c
SARJAN Mazlan Abdul Rahman.

“Selepas mendapat penghargaan daripada Angkatan Tentera Darat (Malaysia), saya tidak sangka akan mendapat penganugerahan (P.G.P) daripada Kerajaan Negeri.

“Sebenarnya saya berniat untuk tolong sahaja (pasangan yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang), penghargaan yang diberikan kepada saya ini, terima kasih.

“Saya harap penganugerahan (P.G.P) memberi motivasi kepada saya dan kawan-kawan,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Dalam perkhidmatan selama 14 tahun, Sarjan Mazlan, pernah berkhidmat di negeri Kelantan dan baru tahun lepas ditaklifkan sebagai jurulatih jasmani dan sukan di Batalion 2 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Ara dekat Daerah Barat Daya.

Sarjan Mazlan, 35, merupakan anak kelahiran Naka, Kuala Nerang, negeri Kedah Darul Aman.

Sudah berkahwin, beliau mempunyai dua anak lelaki yang berusia 3 tahun dan 7 tahun.

Difahamkan, pada tahun ini, Sarjan Mazlan merupakan satu-satunya individu penerima anugerah P.G.P.

Selama empat hari bermula pada pagi tadi hingga 1 Ogos depan menyaksikan seramai 142 darjah kebesaran, manakala 1,204 lain menerima bintang dan pingat kehormatan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD