GEORGE TOWN – Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain mensasarkan 500,000 daripada warga negeri ini akan mendaftar sebagai ahli koperasi dalam tempoh dua tahun.
Katanya, nisbah penglibatan rakyat negeri ini di dalam koperasi didapati masih rendah iaitu 128,481 orang berbanding jumlah rakyat melebihi 1.7 juta orang.
“Salah satu cara untuk menarik lebih orang ramai menjadi ahli koperasi adalah melestarikan ekonomi digital ini dan kita percaya ianya mampu menarik lebih ramai orang terutamanya golongan muda dalam koperasi.
“Tumpuan koperasi seperti disebutkan oleh Zakaria Mat Jusoh (Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang, SKMNPP) adalah memfokuskan industri asas tani, perladangan, hartanah, pelancongan, kewangan serta pemborongan dan peruncitan.
“Kita percaya dengan ekonomi digital ia akan menarik lebih ramai anak muda meneyrtai koperasi,” ujar beliau dalam satu sidang media pada Program Melestarikan Perniagaan Melalui Digital semalam.
Dalam memperkasakan gerbang digital kepada golongan muda, beberapa platfornm turut dibangunkan melalui gerbang digital seperti PG Mall oleh Kerajaan Negeri manakala eBiz Co-op Mart dipelopori SKMNPP.
“Sejak tahun lepas, kita (Kerajaan Negeri) sudah menganjurkan banyak kursus-kursus persediaan bagi menghadapi revolusi industri 4.0 pada tahun ini.
“Tetapi selepas dunia dilanda COVID-19 ianya didapati menjadi kewajipan, dalam musibah sebenarnya ada peluang, jika kita tidak masuk dalam era digital kita akan ketinggalan,” jelas Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Bagi mencapai sasaran penyertaan rakyat Pulau Pinang dalam koperasi, SKMNPP turut menubuhkan Koperasi Rakyat Pulau Pinang Berhad (KOPIN) sebagai inisiatif.
Pada program tersebut, Geran Bantuan Pembangunan bernilai RM85,000 disampaikan kepada tiga koperasi manakala RM1.05juta turut disampaikan melalui Tabung Modal Pusingan.
Zakaria dalam pada itu mempelawa koperasi-koperasi di Pulau Pinang untuk memohon geran SKMNPP koperasi yang masih berbaki.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD