Sasar 6,000 pelancong domestik melalui tawaran ‘Best Tour Packages’

Admin

GEORGE TOWN – Penularan pandemik COVID-19 telah memberi impak yang ketara terhadap semua sektor terutama sektor pelancongan di negeri ini.

 

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata, sektor pelancongan antara sektor yang paling teruk terkesan sehingga timbul kesukaran bagi sesetengah perniagaan untuk beroperasi.

 

“Maka, di bawah Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan Pulau Pinang 2020, kita melancarkan JOM! Experience Penang yang menyasarkan pasaran domestik.

 

“(Dan) hari ini, dengan kerjasama Penang Global Tourism (PGT) dan Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) melancarkan ‘Best Tour Packages’ yang menawarkan 23 pakej pelancongan menarik di Pulau Pinang,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran JOM! Experience Penang : Best Tour Packages di The Wembley St. Giles Hotel  dekat sini, tadi.

 

Mengulas mengenai ‘Best Tour Packages’, Soon Hin yakin, pakej pelancongan terbaru itu dapat menambah pendapatan negeri sekaligus memberi manfaat terhadap industri perhotelan, tempat tarikan pelancongan, premis makanan, pengendali dan agensi pelancongan serta pengangkutan untuk beroperasi semula.

 

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan ia memberi sedikit kelegaan (kepada pemain industri pelancongan), tambahan pula keinginan untuk melancong juga meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia terutama ketika cuti hujung minggu.

 

“Bagi memastikan pelancong domestik yang datang ke Pulau Pinang menikmati percutian yang menarik, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PGT dan MCTA bersetuju menawarkan pakej pelancongan istimewa ini.

 

“Melalui ‘Best Tour Packages’ ini, kita (Kerajaan Negeri) menyasarkan kemasukan sehingga 6,000 pelancong tempatan dengan jangkaan sebanyak RM1.54 juta pendapatan dijana sehingga Oktober 2020 termasuk pulangan pelaburan yang dijangka mencecah RM1.23 juta,” jelasnya yang turut mempromosikan pakej ini melalui media sosial ke seluruh Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan ketika membentangkan kandungan pakej tersebut memaklumkan bahawa pada 29 Jun lalu, pihaknya telah melancarkan dua tawaran pelancongan istimewa iaitu ‘Best Hotel Deals’ dan ‘Best Attractions Deals’.

 

“Pihak kami juga menawarkan pakej istimewa untuk barisan hadapan sebagai tanda penghargaan dalam memerangi krisis kesihatan dan memastikan Pulau Pinang kekal sebagai zon hijau sehingga kini.

 

Bagi ‘Best Tour Packages’ ini  pula, terdapat 23 pakej menarik dengan harga serendah RM15 seorang termasuk pelbagai pilihan pakej sama ada pakej lawatan sehari, dua hari satu malam atau tiga hari dua malam dengan tawaran harga istimewa.

 

“Memandangkan pakej ini memberi tumpuan kepada pelancong domestik, warga Pulau Pinang tidak seharusnya melepaskan peluang keemasan ini yang mungkin hanya ditawarkan sekali seumur hidup.

 

“Jadi ayuh, ambil peluang dan JOM! Experience Penang,” serunya yang turut menzahirkan keyakinan terhadap inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membantu memulihkan semula sektor pelancongan negeri.

 

Dalam pada itu, Pengerusi MCTA Cawangan Pulau Pinang, Andy Chuah ketika ditemui berkata, pihaknya yakin dan menyokong sepenuhnya Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan Pulau Pinang 2020 dalam memulihkan semula sektor tersebut.

 

Kempen – kempen (promosi pelancongan) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bukan sahaja menarik dan mampu menggamit pelancong ke Pulau Pinang bahkan juga dijangka memberi pulangan pendapatan sehingga RM10 juta melalui pengoperasian semula pelbagai sektor lain.

 

“ Pakej pelancongan ‘Best Tour Packages’ ini akan bermula hari ini sehingga 31 Oktober 2020, jadi ambillah peluang, segera membuat tempahan dan selamat bercuti,” zahirnya yang turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini.

 

Turut hadir, Presiden MCTA Malaysia, Datuk Albert Tan.

 

Maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan menarik ini, sila layari laman sesawang penangtraveldeals.com. 

 

Jom, nikmati Pulau Pinang!

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS