PADANG LALANG – Persatuan Bomba Sukarela dan Penyelamat (PBS) Padang Lalang Pulau Pinang akan mengadakan Majlis Makan Malam di Padang Besar Taman Sri Rambai di sini pada 20 Julai 2024, bermula 7.30 malam.
Exco Belia & Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berharap acara tersebut dapat mengumpul dana amal lebih RM400,000 bagi membiayai kos pembelian peralatan berkaitan serta operasi persatuan tersebut.
“Aktiviti persatuan ini bukan sahaja menumpukan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang, malah turut ke sekitar Seberang Perai dan bahagian pulau.
“Ini kerana PBS Padang Lalang turut terlibat membantu Kerajaan Negeri membawa bekalan air dengan jentera mereka di kawasan terjejas semasa Rancangan Gangguan Air Berjadual dilaksanakan (pada 10 hingga 12 Januari 2024)
“Pun begitu, peralatan dan perkakasan yang diguna pakai dalam operasi persatuan yang tidak berorientasikan keuntungan ini memang sudah lama, usang dan perlu diganti baharu.
“Dana kutipan ini juga diperlukan untuk membiayai kos operasi persatuan (yang mana) memerlukan sekurang-kurangnya RM60,000 atau RM50,000 sebulan.
“Justeri, saya berharap sasaran pihak penganjur makan malam (amal) untuk mengumpul dana sebanyak RM400,000 dapat dicapai,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di Balai Bomba Sukarela dan Penyelamat Padang Lalang Pulau Pinang di sini pada 28 Jun 2024.
Bercakap dalam sidang media sama, Ketua Pegawai Operasi Balai Persatuan Bomba Sukarela dan Penyelamat Padang Lalang Pulau Pinang, Lee Boon Meng berkata ketika ini pihaknya menerima kira-kira 20 panggilan setiap minggu untuk melaksanakan kerja-kerja awal penyelamatan awam dan harta benda semasa insiden kebakaran.
“Selain mengambil bahagian dalam kerja-kerja penyelamatan awam dan harta benda semasa kebakaran, kira-kira 20 panggilan turut diterima tiap-tiap minggu bagi pelbagai kes seperti tangkapan haiwan berbisa, penyelamatan binatang peliharaan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan kerja-kerja penyelamatan mangsa kemalangan,” jelasnya sambil mengaku kos operasi ketika ini turut meningkat disebabkan pelbagai perkara.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS