Sasar produk ‘Dicipta dan Buatan Pulau Pinang’

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

JURU – Sebuah syarikat milik anak tempatan DES Building Innovate  Sdn. Bhd. (DES) yang memulakan operasinya di Shanghai, China
kini kembali ke Pulau Pinang setelah melihat potensi cerah di negeri ini.

DES merupakan sebuah kilang yang menghasilkan kaca pintu dan bidai tingkap dengan menggunakan teknologi dari Amerika Syarikat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan majlis pembukaan kilang itu berkata, kepulangan DES ke Pulau Pinang sekaligus membuktikan bakat anak tempatan dan modal perniagaannya dari luar negara telah kembali ke negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga berharap usaha Kerajaan Negeri untuk menarik kepelbagaian bakat anak tempatan dan modal dari luar negara akan terus berjaya.

“Tanggungjawab Kerajaan Negeri adalah untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terus berkembang serta menjadi pembekal di peringkat global. Kita tidak hanya mahu lihat produk ‘Buatan Malaysia’, tetapi kita mahu ‘Dicipta dan Buatan Pulau Pinang’,’’ ujarnya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan DES, Yew Kok Sin, kilang DES diasaskan di sini (Pulau Pinang) pada tahun lalu (2012) dengan modal RM1 juta di atas tapak industri dengan keluasan 2,340 meter persegi di Kawasan Perindustrian Juru.

“Ketika ini, DES mempunyai 50 kakitangan, termasuk 15 pekerja pakar dalam pembuatan bidai dan penyelidik dalam pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) (10).

“Malah, kilang tersebut juga dilengkapi dengan makmal, bilik uji kaji serta bengkel percubaan,’’ jelas beliau.