Sasar Pulau Pinang capai sifar miskin tegar menjelang 1 Jun, PM puji urus tadbir Kerajaan Negeri

Admin
whatsapp image 2024 04 05 at 4.35.12 pm

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim meletakkan matlamat sifar miskin tegar di Pulau Pinang menjelang 1 Jun 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi Taklimat Pembangunan Negeri Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

“Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan kerjasama dan perbincangan bersama-sama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dalam masa sebulan ini.

“(Dan) menjelang 1 Jun nanti, saya percaya Pulau Pinang akan mencatatkan sifar miskin tegar,” ujarnya.

whatsapp image 2024 04 05 at 3.14.23 pm
KETUA Menteri bersama-sama Anwar Ibrahim menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Pulau Pinang di Komtar hari ini.

Mengulas mengenai sesi taklimat yang dihadiri, Anwar memaklumkan bahawa perbincangan adalah berkisarkan isu-isu tertangguh dan projek-projek keutamaan di negeri ini.

“Antara yang dibincangkan adalah mengenai perkembangan keputusan yang telah dibuat sebelum ini (oleh Kabinet) seperti Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.

“Ada juga isu terpencil yang dibincangkan umpamanya pembinaan Klinik Kesihatan di Bayan Lepas yang memerlukan peruntukan sekitar RM11 juta yang mana saya telah meluluskannya segera.

“Selain itu, kita juga meletakkan keperluan untuk menumpukan sektor-sektor berkeupayaan tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), digital dan (pembuatan) mikrocip yang mana Pulau Pinang mendapat tumpuan dan pengiktirafan antarabangsa.

“Saya juga menekankan tentang perumahan dan pusat-pusat perniagaan peringkat bawah supaya rakyat juga berpeluang untuk sama-sama menikmati kemajuan yang membanggakan di Pulau Pinang,” jelasnya.

Pada sidang media sama, Anwar turut menekankan jalinan kerjasama dan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta memuji urus tadbir Kerajaan Negeri selama ini sehingga berjaya memacu pertumbuhan industri ke tahap yang lebih tinggi.

Terdahulu, Anwar tiba di Komtar sekitar jam 2.30 petang dan disambut oleh Kon Yeow serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Anwar kemudiannya meluangkan masa selama 10 minit mengadakan pertemuan tertutup bersama-sama Kon Yeow sebelum menghadiri taklimat berkaitan.

whatsapp image 2024 04 05 at 4.22.01 pm
KETUA Menteri menaiki kenderaan bersama-sama Anwar Ibrahim untuk ke program seterusnya di Kubang Semang.

Difahamkan, Anwar yang dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang turut dijadualkan akan meluangkan masa berbuka puasa di Pusat Islam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Permatang Pauh yang turut dihadiri oleh Kon Yeow dan juga barisan kepimpinan negeri.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN, SIEW CHIA EN, AHMAD ADIL MUHAMMAD
Video : LAW SUUN TING