Sasaran 40 pingat emas SUKMA XXI harap berjaya diraih – Ketua Menteri

Admin
61579c63 1cf9 4359 a507 1b2d494cebc4

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap kontinjen negeri yang kini berentap di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak berjaya meraih sasaran 40 pingat emas.

“Semestinya, kita sangat gembira dan bangga apabila mengetahui atlet Pulau Pinang telah berjaya menyumbang beberapa pingat emas di peringkat awal penganjuran SUKMA XXI kini.

“Adalah diharapkan agar sasaran untuk mencapai 40 pingat emas di penghujung temasya berjaya diperoleh.

“(Dan) bagi penganjuran kali ini, saya akan bertolak ke Sarawak esok bagi menyempurnakan Upacara Perasmian SUKMA XXI serta melawat beberapa tempat acara sukan bagi memberi galakan serta rangsangan kepada atlet kita untuk mencapai keputusan yang terbaik,” ulasnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Difahamkan, Kontinjen Negeri Pulau Pinang menghantar seramai 1,024 individu merangkumi 722 atlet dan bakal berentap dalam 36 jenis sukan meliputi 484 acara sukan.

Wushu terus menjadi penyumbang pingat emas kepada Pulau Pinang apabila berjaya menggungguli empat pingat emas setakat semalam.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : ALISSALA THIAN