Satu KADUN satu NADI direalisasi hujung tahun ini

img 2375

TANJUNG BUNGA – Sebanyak 32 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)  di Pulau Pinang yang kini telah siap beroperasi seperti dirancang dan enam lagi NADI dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung bulan ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata dengan tambahan 38 lagi NADI, di samping tiga pusat yang sedia ada di negeri ini, membolehkan rancangan untuk setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) mempunyai satu NADI akan dapat direalisasikan.

“Saya difahamkan Pulau Pinang paling cepat siap semua NADI selepas pengunuman oleh Perdana Menteri pada awal tahun ini yang berhasrat mewujudkan 38 lagi NADI di negeri melibatkan peruntukan RM47 juta.

“Jadi menjelang akhir tahun ini, sebanyak 41 NADI akan beroperasi sebagai pusat teknologi maklumat bagi komuniti sambil menjalankan fungsi-fungsi berkaitan digital, perkhidmatan dalam talian kepada komuniti di setiap KADUN seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri,” ujar beliau ketika merasmikan NADI dekat Tanjung Bunga (tingkat atas Pasar Awam Tanjung Bunga) di sini semalam.


arf 4384Hadir sama, Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Kerajaan Tempatan, Muhammad Husni Mahmud dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pulau Pinang, Mohd Fitri Hashim.

Selain itu, Zairil berkata Jawatankuasa Khas Pelaksanaan dan Operasi NADI Pulau Pinang ditubuhkan bagi memantau pengoperasian NADI.

“Langkah ini adalah bagi memastikan program yang dijalankan oleh NADI tidak bertindih dengan program yang dianjurkan oleh Digital Penang atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Program di NADI yang dijenamakan semula daripada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) turut dirombak semula berteraskan kepada  keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta inisiatif kerajaan bagi memperkasakan komuniti,” katanya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : BERNAMA