‘Satu Koperasi Satu JKKK’ demi pembangunan ekonomi negeri

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Menyedari kepentingan koperasi kepada pembangunan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil satu inisiatif menubuh dan memperbanyakkan Koperasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (Koperasi JKKK) dengan sasaran ‘Satu Koperasi Satu JKKK’ baru-baru ini di sini.

Sehingga kini, sebanyak 509 buah koperasi berjaya didaftarkan terdiri daripada Koperasi JKKK, Koperasi Ibu Tunggal dan Koperasi Pegawai dan Kakitangan Kerajaan.

Jumlah tersebut mencatatkan bahawa negeri menyumbang sebanyak 7.05 peratus daripada jumlah keseluruhan koperasi dalam negara.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman yang juga merangkap Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat berkata, penubuhan koperasi adalah bermatlamat menerapkan pembudayaan keusahawanan koperasi bagi memperkasakan ekonomi rakyat sehingga ke akar umbi.

“Kerajaan Negeri mahu melihat JKKK memainkan peranan lebih aktif dalam menjana ekonomi di kawasan masing-masing dan tidak hanya tertumpu kepada hal ehwal masyarakat sahaja.

“Malahan, usaha penubuhan koperasi juga sedang dilaksanakan di peringkat kariah masjid. Selain itu, pelbagai program pengukuhan dan pemantapan koperasi sedang dirangka,” ujarnya ketika Majlis Perasmian Mini Karniva l Koperasi  dan Usahawan 2012 di Komtar baru-baru ini di sini.

Hampir 20 buah koperasi menyertai dan memeriahkan penganjuran oleh Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pembangunan Koperasi dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Perhubungan ANGKASA Negeri Pulau Pinang.

Turut menyerikan majlis, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Makhtar Shafie, ADUN Kebun Bunga, Ong Khan Lee dan Timbalan Pengarah UPEN, Hafidzah Hassan.

Mansor berkata, Jawatankuasa MMK Koperasi 2012 memfokuskan kepada 3P iaitu Perkasakan Rakyat, Perkuasakan Rakyat dan
Perkayakan Rakyat berhubung penganjuran berkenaan.

“Program ini bertujuan mewujudkan peluang-peluang perniagaan boleh diterokai oleh koperasi di Pulau Pinang dalam membangunkan pertubuhan (koperasi) masing-masing.

“Koperasi juga perlu peka serta proaktif terhadap persekitaran agar menjadi warga korporat yang bertanggungjawab,” ujar beliau.

MANSOR Othman (kanan) melawat gerai pameran dan jualan ayam serama bersempena Majlis Perasmian Mini Karnival Koperasi dan Usahawan 2012 di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (kanan) melawat gerai pameran dan jualan ayam serama
bersempena Majlis Perasmian Mini Karnival Koperasi dan Usahawan
2012 di sini baru-baru ini.