BATU UBAN – Setiap undi yang dipegang oleh pengundi Batu Uban mempunyai tiga matlamat penting, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow.
Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan itu, matlamat pertama adalah untuk menangkan calon berkaliber yang ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan merangkap mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan.
“Saya harap pada 12 Ogos ini calon kita akan dapat kemenangan kerana pengundi-pengundi di Batu Uban menghargai khidmat bakti Kumaresan sepanjang 5 tahun lepas.
“Keduanya adalah sasaran 30 hingga 32 kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri yang kukuh untuk mentadbir negeri Pulau Pinang dan mengikut perkiraan saya, Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban turut dimasukkan dalam senarai kerusi yang kita yakin mampu menjadi antara penyumbang terhadap kemenangan Perpaduan.
“(Dan) ketiganya adalah bagi merealisasikan hasrat keputusan semua komponen parti Harapan untuk terus memberi sokongan kepada saya sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua, iaitu penggal terakhir (untuk) saya,” ujar Kon Yeow pada Ceramah Umum Perpaduan DUN Batu Uban dekat pekarangan Kompleks Pasar Supertanker, Taman Lip Sin di sini sebentar tadi.
Selain calon DUN Batu Uban, Kumaresan yang hadir, calon DUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol dan ADUN Indera Kayangan (Perlis), Gan Ay Ling antara yang hadir memberi sokongan.
Kon Yeow yang juga calon DUN Padang Kota menyeru agar semua pengundi Pulau Pinang yang layak untuk keluar mengundi pada 12 Ogos ini.
“Lebih penting adalah untuk kita semua keluar mengundi dan berikan undi anda kepada calon Perpaduan.
“Kita tidak mahu peratusan keluar mengundi yang kecil kerana boleh menjejaskan keputusan untuk berpihak kepada kita.
“Perkara ini telah dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu apabila peratusan keluar mengundi di Pulau Pinang berkurangan 14 peratus berbanding PRU sebelumnya.
“Kita perlu capai sekurang-kurangnya 70 hingga 75 peratus untuk keputusan yang memberangsangkan dan menjamin kemenangan dengan mandat yang kuat.
“Jadi jangan lupa ajak ahli keluarga dan sahabat handai untuk keluar mengundi dan pastikan kemenangan terus di pihak Perpaduan.
“Hanya dengan kemenangan mandat yang kuat kita dapat memperkukuhkan kerajaan serta dapat menumpukan pembangunan berterusan Pulau Pinang untuk satu penggal lagi,” katanya sambil melaungkan ‘Kita Penang Kita Boleh’.