Saya hanya bantah tol, bukan bantah buat jalan PORR, respons KM

GEORGE TOWN – Chow Kon Yeow memberitahu pada tahun 2002, beliau hanya menentang kenaan tol dalam Pelan Lingkaran Luar Jalan Raya Pulau Pinang (PORR), bukan projek pemajuan jalan yang bertujuan untuk menyuraikan trafik sesak ketika itu.

Justeru, Ketua Menteri berkenaan menasihatkan kumpulan pendesak yang mahu projek pintasan lebuh raya Penang Island Link I (PIL1) tidak menyebarkan risalah kempen dengan menggunakan fakta palsu.

“Mereka ambil daripada kenyataan yang saya buat pada tahun 2002 mengatakan yang saya membantah (PORR).

“Ya…saya membantah kalau tol dikenakan, kalau tol tidak dikenakan, itu soal lain.

“Hari ini, mereka memetik satu lagi kenyataan saya di luar konteks yang sebenar.

“Jadi, saya berharap pihak yang menentang Kerajaan Negeri melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) gunakan fakta yang betul.

“Kalau nak bantah (PIL1), gunalah fakta sebenar, janganlah memesong, mengaku diri sebagai profesional (kerana) profesional tidak akan menggunakan teknik sedemikian,” respons Kon Yeow kepada pemberitahu, selepas berakhirnya Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-14 di sini pada petang 10 Ogos 2018.

Tambah beliau, satu lagi sebab beliau membantah PORR bernilai RM5 bilion yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang era Barisan Nasional (BN) pada tahun 2002 dahulu, adalah kerana penemuan hasil kajian Helcrow sendiri yang menyebut projek itu tidak dapat menyelesaikan masalah trafik selepas lima tahun digunakan.

Sebelum ini, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu, kumpulan pendesak terbabit menggunakan gambar visual yang tidak relevan dan bukan berdasarkan dokumen laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) sebenar, demi menyebarkan dakyah anti projek PIL1 yang dianggarkan bernilai RM8 bilion.

Pada pagi tadi, beberapa kumpulan pendesak melancarkan demontrasi awam di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada Penang Forum dan pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengambil bahagian dalam demontrasi anti projek penyuraian trafik sesak yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Serentak dalam demonstrasi itu, turut diedar risalah berupa ‘surat layang’ yang memetik kenyataan Kon Yeow membantah PORR secara di luar konteks sebenar pada tahun 2002.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALVIE CHENG

Video : CHAN KOK KUAN