Saya percaya setiap orang boleh memainkan peranan penting untuk masa depan Pulau Pinang sebagai negeri mesra keluarga, pintar dan hijau – Kon Yeow

SEBERANG JAYA – Seramai 1,000 peserta berdaftar termasuk anak dan cucu menyertai acara Jalan Ria 2.0 Tahun 2018 sepanjang 5.7 kilometer (km) dari perkarangan parkir Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow diiringi Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud yang menyempurnakan acara pelepasan para peserta.

Turut serta, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod dan barisan Ahli Majlis bagi MPSP yang lain.

Kon Yeow dalam ucapannya sebelum ini berkata, acara berorientasikan kekeluargaan tersebut dianjurkan selari dengan Penang2030 iaitu wawasan pembangunan masa depan negeri ini dalam tempoh 12 tahun sehingga 2030 nanti.

Justeru, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang berharap MPSP dapat menganjurkan program seumpamanya dengan menggalakkan partisipasi semua anggota keluarga daripada golongan datuk dan nenek sehinggalah ke peringkat cucu.

“Misi ini (Penang2030) baru dilancarkan… saya percaya setiap orang boleh memainkan peranan yang penting untuk masa depan negeri Pulau Pinang.

“Saya percaya program seperti ini dapat dianjurkan oleh MPSP dari sekarang hingga 2030,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada penganjuran berkaitan di sini 17 November 2018.

Justeru, Kon Yeow menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang untuk menghayati Penang2030 yang memberi tumpuan kepada usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri mesra keluarga, pintar dan hijau.

Dalam pada itu, Rozali pula memberitahu bahawa pentadbirannya sedang menyusun program-program pada tahun hadapan berdasarkan wawasan Penang2030.

“Berdasarkan wawasan (Penang2030) itu, MPSP pada tahun depan (2019) akan melaksanakan program-program berpaksikan rakyat.

“Sepanjang tahun 2019, kita (MPSP) akan melaksanakan program mesra rakyat, mesra keluarga… program seumpama ini (jalan ria) akan diteruskan dengan meningkatkan aktiviti-aktiviti bersama keluarga.

“Walaupun belum tahun 2019 lagi, kita mula awal… kalau sebelum ini kita banyak anjur acara larian atau berbasikal, kita tukar pada acara jalan ria supaya anggota keluarga seperti datuk dan nenek serta cucu juga boleh ambil bahagian secara bersama-sama dalam program MPSP.

“Kita harap, kalau boleh selepas ini, peserta yang pernah menyertai program-program MPSP dapat membawa anggota keluarga lain, datuk dan nenek sampai cucu, kerana program seumpama ini adalah untuk semua (kelas) umur keluarga,” ujarnya.

Selepas selesai acara berkaitan, di perkarangan parkir MPSP turut berlangsung konsert keluarga dengan penampilan kumpulan terkenal, Kame Buskers; sudut pameran dan berswafoto serta program trak makanan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD