BERTAM – “Saya memang selalu tenang dan ‘cool’,”, kata Pengerusi Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kepada pemberita ketika ditanya mengenai gesaan akar umbi DAP supaya pucuk pimpinan parti itu meredakan ketegangan politik yang berlaku di negeri ini.
Pada masa sama, Kon Yeow turut menegaskan bahawa isu berhubung pertikaian pemilihan beliau sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang sudah selesai sejurus berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.
“Memang tidak dinafikan pada masa itu ada pertimbangan untuk tidak memilih saya (sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang) tapi semua itu sudah berlalu dengan adanya PRN,” ujarnya ringkas.
Terdahulu, desas-desus mengenai usaha menggantikan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang timbul dengan beberapa nama sebagai antara yang akan kembali menerajui pentadbiran Pulau Pinang.
Malah, Kon Yeow sebelum ini juga menggesa semua pihak di dalam dan di luar parti DAP untuk bersama-sama menyokong Visi Penang2030 yang diperkenalkan beliau semasa memegang jawatan sebagai Ketua Menteri pada 2018.
Beliau turut mengingatkan pihak yang yang sengaja mencipta isu (komplot untuk menggulingkannya) supaya melupakan perkara itu kerana DAP secara rasmi telah memilih beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.