Sazali Samad di Kejohanan Bina Badan 2013

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

TANJUNG BUNGA – Dijangkakan 200 peserta dari seluruh negara bakal berkampung di negeri ini bagi berentap dalam Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan ke-44 Mr. Malaysia 2013 bermula 14 Jun ini.

Kejohanan berprestij tersebut merupakan kali kedua dianjurkan di sini selepas tahun 2010.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng berkata, penganjuran terbabit merupakan satu  penghormatan kepada negeri Pulau Pinang kerana dalam masa tiga tahun, negeri dipilih semula menjadi tuan rumah.

“Ini secara tidak langsung akan dapat menarik minat belia negeri untuk menceburkan diri dalam sukan yang mencabar ini,” katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Sebanyak tiga kategori utama bakal dipertandingkan iaitu Remaja bawah 21 tahun membabitkan 70 kilogram (kg) ke atas dan ke bawah; Masters, bagi umur 45 tahun ke atas; Senior dipecahkan kepada sembilan kategori iaitu Light Fly Weight, 55kg ke bawah, Fly Weight, 55kg,  Bantam Weight, 60kg, Light Weight, 65kg, Welter Weight, 70kg, Light Middle, 75kg, Middle Weight, 80kg, Light Heavy
Weight, 85kg dan Heavy Weight, 90kg ke atas.

Pemenang bakal menerima trofi, piala pusingan, medal, sijil, baucer, hamper makanan dan hadiah sampingan penaja-penaja.

Turut ditampilkan adalah Juara lapan kali Mr. Universe dari Malaysia, Sazali Samad.

Turut hadir, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi II Masjlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Datuk Ong Poh Eng yang juga merangkap Presiden Angkat Berat Amatur Pulau Pinang menyatakan bahawa mereka yang ingin menyaksikan acara kemuncak pada 15 Jun ini dinasihatkan supaya membuat tempahan meja lebih awal dengan harga antara RM800 hingga RM3,000.

Bagi tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi Persatuan Bina Badan Pulau Pinang di talian 04 – 22 85080/228 508.