BUKIT TAMBUN – Bahagian tertentu Lebuhraya Bandar Cassia dari Eco Horizon ke Paramount Utropolis berhampiran pusat membeli belah Design Village, Batu Kawan akan ditutup sepenuhnya mulai 15 Ogos 2020 hingga 14 Ogos 2022, untuk pelaksanaan projek jejambat di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata bahawa tujuan agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melaksanakan projek tersebut dengan anggaran kos RM43 juta adalah demi menampung lambakan trafik yang dijangka kian meningkat pada masa akan datang.
Justeru, beliau berharap semua pengguna jalan raya dapat menggunakan pilihan jalan-jalan alternatif yang dicadang oleh pihak PDC untuk akses ke kawasan-kawasan komersial dan zon perindustrian di bandar baharu Batu Kawan.
“Saya sendiri telah beri dan setuju satu tarikh sahaja (iaitu) pada 15 Ogos (2022) nanti saya harap projek ini siap dan saya boleh melalui jejambat sepanjang 1.1 kilometer (km) ini serta enam laluan jalan raya (untuk dua hala) ini.
“Tujuan PDC sebagai pemaju utama melaksanakan projek ini adalah untuk menampung lambakan trafik pada masa hadapan,” jelasnya dalam sidang media di Pejabat Galeri PDC dekat sini pada 5 Ogos 2020.
Hadir sama, Pengurus Projek Kanan PDC, Ir. Ismail Ishak; Amar Munawwir Ahmad (jurutera awam PDC merangkap pengurus projek jambatan dan persimpangan bertingkat di sini); wakil kontraktor pemaju Zibina Jaya Sdn. Bhd. serta beberapa pemegang taruh lain daripada Design Village, Aspen, Kolej Universiti KDU, Paramount dan lain-lain.
Sementara itu, Amar Munawwir pula memberitahu bahawa pihaknya mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menetapkan jajaran jalan-jalan alternatif berwajib, setelah mengadakan pelbagai siri perbincangan bersama-sama Choon Aik sendiri serta pemegang-pemegang taruh yang lain.
“Tujuan penutupan jalan raya (di Lebuhraya Bandar Cassia/Persiaran Cassia Barat 3) sepenuhnya dibuat adalah untuk keselamatan semua pihak, selain untuk memastikan pada masa hadapan kita tak menghadapi keadaan trafik sesak pada waktu puncak.
“Maka, selepas penutupan jalan raya tersebut nanti, kita (PDC) berharap pengguna jalan raya dapat menggunakan dua pilihan jalan alternatif yang kita cadangkan ini, berdasarkan papan tanda (arah) yang akan dipasang,” jelasnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD