PAYA TERUBONG – Sejak tahun 2013 sehingga 25 Oktober 2018, sebanyak 182 permohonan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) diluluskan Kerajaan Negeri, ujar Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.
Menurut Jagdeep, keseluruhan nilai kelulusan tersebut adalah berjumlah RM26.5 juta.
“Terkini, 182 permohonan kita (Kerajaan Negeri) telah luluskan dengan kos RM26.5 juta yang mana untuk kali pertama (permohonan) ia mencecah rekod iaitu lebih dari 300, angka spesifiknya 303 projek di seluruh negeri Pulau Pinang.
“Projek yang kita utamakan adalah penaiktarafan dan penggantian lif di mana dari 303 projek yang kita luluskan tersebut, 176 projek adalah untuk kerja penaiktarafan dan penggantian lif membabitkan kos RM14.4 juta.
“Ianya kritikal, fokus dan keutamaan akan terus diberikan bagi membantu skim-skim perumahan yang layak,” ujar beliau ketika sidang media kelulusan kerja-kerja naik taraf dua unit lif dekat Blok 21, Taman Lone Pine dekat Paya Terubong pagi ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong; Penolong Setiausaha Kanan (Seksyen Pengurusan Perumahan), Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.
Tambah Jagdeep, projek menaiktaraf dua unit lif tersebut adalah bernilai RM221,000 di mana penduduk akan menampung 20 peratus, manakala bakinya 80 peratus akan ditanggung pihak Kerajaan Negeri melalui TPM80PP.
“Penduduk akan membayar RM44,200, kita (Kerajaan Negeri) bayar bakinya” katanya yang juga ADUN Datuk Keramat.
Skim yang layak memohon adalah projek kos rendah dan sederhana rendah yang mana nilai semasa pembelian asal maksimum RM150,000.
Difahamkan projek menaiktaraf lif di Taman Lone Pine tersebut akan dimulakan dalam masa terdekat.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: ALVIE CHENG