Sebelum pertimbangkan permohonan TP1M baharu, mohon lulus permohonan lama, gesa Jagdeep kepada Pusat

GEORGE TOWN – Kerajaan Pusat sekali lagi digesa supaya mempertimbangkan kelulusan 114 permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) dari Pulau Pinang yang bertangguh sejak tahun 2012.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sejajar dengan pengumuman Bajet 2018 baru-baru ini, Kerajaan Pusat perlu segera mempertimbangkan kelulusan permohonan dari negeri Pulau Pinang di bawah TP1M terdahulu.

Jelasnya, daripada 143 permohonan hanya 29 sahaja diluluskan sejak 2012.

“Kerajaan Pusat seharusnya mempertimbangkan permohonan lama TP1M yang tertangguh sebelum membuat pertimbangan bagi permohonan baharu.

“Malah, Kerajaan Pusat harus memberikan jawapan kepada rakyat terutamanya di Pulau Pinang, kenapa tidak ada satupun permohonan TP1M diluluskan sedangkan dana yang diperuntukan di bawah tabung ini meningkat saban tahun iaitu 2013 (RM32.82 juta), 2014 (RM46.49 juta) dan 2015 (RM50.73 juta).

“Cuma pada 2016, sejumlah RM3.98 juta sahaja diperuntukan untuk seluruh negara…kejatuhan mengejut 92 peratus dana jika dibandingkan tahun sebelumnya,” kata beliau pada sidang media di Solok Rawana, Datuk Keramat di sini baru-baru ini.

Tambah Jagdeep, dalam memastikan keselesaan rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan Tabung  Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang atau TPM80PP bagi menyelenggara kerja-kerja kritikal di perumahan berstrata.

“Berbeza dengan TP1M, melalui TPM80PP sejak 2013, kita (Kerajaan Negeri) telah menggantikan dan menaik taraf 94 unit lif bagi seluruh negeri Pulau Pinang dengan jumlah dana sebanyak RM10,181,450.18 dan Kerajaan Negeri menyumbang RM8,334,934.14 daripada jumlah dana tersebut,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep menyatakan bahawa beliau akan menghubungi Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Mohd. Sadique bagi membincangkan soal kelulusan permohonan TP1M
terdahulu.

“Hari ini (30 Oktober) dalam akhbar berbahasa Inggeris, Datuk Halimah menyatakan TP1M telah memanfaatkan 375,000 orang melalui dana RM395 juta sejak 2014.

“Malah, beliau turut mengalu-alukan dana RM200 juta di bawah TP1M melalui Bajet 2018 dan mengakui dana tersebut mampu memanfaatkan lebih banyak rumah-rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.

“Jadi, saya berharap beliau (Halimah) dapat mempertimbangkan untuk meluluskan permohonan terdahulu sebelum meluluskan permohonan baharu TP1M di bawah Bajet 2018 ini,” seru beliau.